Lelaki maut, dua cedera dalam pergaduhan di Miri

MIRI: Seorang lelaki maut dibunuh dalam satu pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kedai snooker di Kampung Kayu Kapur, Bekenu malam tadi.

Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata dalam kejadian pada 8 malam itu, mangsa dikenali sebagai Yusuf Sidani, 45, berasal dari Sabah serta bekerja sebagai pembantu pengurus projek,  mati di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan ditikam di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata dua lagi mangsa yang dipercayai warganegara Indonesia turut cedera semasa kejadian dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Miri.

Suspek yang melakukan serangan dipercayai seorang lelaki warganegara Indonesia dan motif serangan masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh. – Bernama