Kalau mereka serang Pas, Pas akan serang balik

MACHANG: Seperti Barisan Nasional, parti pembangkang Pas juga bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14, malah memberi jaminan tidak akan bertanding kurang daripada jumlah kerusi yang ditandinginya dalam PRU lalu.

Menyifatkan dirinya sebagai blok ketiga, Pas akan mempertahankan 73 kerusi  yang ditandinginya dalam pilihan raya lalu, malah akan meninjau kerusi lain yang berpotensi.

Dengan pendirian itu membayangkan akan berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi terbabit sekiranya parti Islam itu tidak bersama Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat berkata dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Kelantan ke-58 di Pulau Chondong di sini semalam, kerusi yang pernah diserahkan kepada parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat dalam PRU-13 akan turut dipertahankannya.

Malah, ia bertekad untuk menyerang jika diganggu oleh parti terbabit.

“Kalau mereka serang Pas, kita sedia untuk lawan. Pas jangan diganggu, kerana jika diganggu kita ada hak untuk ganggu mereka balik,” katanya.

Sambil mengakui perlunya pembangkang memberi tumpuan untuk menumbangkan BN, beliau berkata, mereka perlu tahu bahawa Pas akan tentang BN di hampir 90 kerusi. – Sarawakvoice