Jangan terpengaruh agenda kumpulan liberal terhadap konsep wasatiyyah

PUTRAJAYA: Kumpulan liberal di negara ini dikesan mempunyai perancangan rapi dan tidak semberono dalam menentang konsep wasatiyyah yang diperkenal kerajaan .

Walaupun hanya minoriti, kumpulan itu dengan perancangan rapi berjaya memanipulasi konsep wasatiyyah sekali gus mengelirukan umat Islam mengenai prinsip kesederhanaan yang sebenarnya.

Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Institut Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din berkata kumpulan mendukung konsep kesederhanaan perlu mempunyai kesedaran tinggi dan usaha jitu bagi membanteras usaha kumpulan yang sengaja mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Kumpulan liberal ini cuba menggambarkan maksud wasatiyyah mengikut fahaman atau tanggapan mereka sendiri, menggunakan pelbagai ruang untuk penuhi tuntutan mereka dan selagi tidak dipenuhi, mereka tidak akan berhenti.

“Kita melihat apa yang dilakukan anak muda (yang ke Syria) itu sebagai melampau dan kita secara keras menolak orang Islam yang mempunyai pemikiran sebegitu.
“Malah, lebih teruk, perbuatan ganas atau ekstrem mereka itulah yang memberi dan memalitkan gambaran buruk kepada masyarakat barat bahawa Islam adalah satu agama berbahaya,” katanya.
Muzakarah anjuran Gabungan Angkatan Melayu Islam Nusantara (GAMIN) itu dirasmikan Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata aktivis Islam yang mahu mempertahankan sebarang isu yang dikemukakan oleh kumpulan liberal terbabit perlu menguasai ilmu perundangan dan perlembagaan.

Sebagai aktivis, amat perlu untuk fahami apa yang mereka sampaikan dan untuk berdepan kumpulan itu, kita perlu menguasai bidang tersebut yang boleh menjadi strategi dalam setiap perancangan dan pertarungan, katanya. Bernama