BN perlukan mandat untuk teruskan visi besar, kata Najib

KUALA NERUS: Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai visi besar dan perancangan rapi bagi negara serta rakyat untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai agenda tersebut, namun memerlukan mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum akan datang dalam merealisasikannya.

“Kami (kerajaan BN) perlu mandat daripada rakyat, tidak lama lagi (pilihan raya umum), sama ada tahun ini atau tahun depan. Kalau ikut suasana di Kuala Nerus ini, nak buat cepat, namun kami kena lihat kepercayaan rakyat…kalau pilih BN, banyak lagi transformasi yang akan kami lakukan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Lebih 20,000 penduduk sekitar kawasan parlimen itu hadir memeriahkan majlis pecah tanah projek PPR melibatkan 500 unit rumah.

Najib, dalam lawatan keduanya ke Terengganu pada tahun ini, berkata kerajaan BN terbukti berjaya melaksanakan pelbagai agenda bagi kepentingan rakyat termasuk projek PPR.

Beliau berkata bagi setiap unit PPR yang dibina, nilai subsidi disediakan kerajaan berjumlah antara RM115,000 hingga RM158,000 seunit bergantung kepada lokasi.

“Kalau pembangkang bangkitkan isu GST, kita kutip hasil dan inilah (PPR) antara projek yang mana kita guna duit GST itu untuk kembalikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata pembangkang hanya pandai menyerang kerajaan dengan melempar pelbagai tohmahan dan fitnah untuk menjadikan rakyat benci kepada pemerintah.

Justeru, Najib mengingatkan rakyat supaya tidak membuat penilaian dengan emosi, sebaliknya melihat kepada keupayaan dan kejayaan kerajaan, dalam memikul tanggungjawab mentadbir negara ini. Bernama