Badi terus menghantui, Sarawak kempunan tiga mata di Stadium Negeri

KUCHING: Andai kata syarat untuk meminang Puteri Gunung Santubong, perlu menang dalam saingan Liga Super, Sarawak tampaknya harus menunggu lama untuk bersanding di atas pelamin.

Ini kerana skuad Bujang Senang ini terus “dihantui badi kemenangan” di Stadium Negeri dalam aksi terakhir malam tadi.

Ketika kemenangan seolah-olah terhidang di depan mata, Sarawak yang dua kali mendahului The Bos Gaurus kempunan lagi ketika aksi 90 minit berakhir.

Sarawak sekadar meraih seri; menyebabkan penyokong tepi padang tanpa segan silu melaungkan, mereka tidak mahu lagi sebarang alasan.

Benar, semacam ada “batu halangan besar” yang menutup ketat pintu kemenangan untuk Sarawak.

Justeru itu, tidak hairanlah David Usop berwajah kusam sebaik 90 minit perlawanan tamat.

“Pemain bermain bermati-matian baik pada separuh masa pertama mahupun kedua.

“Tetapi kerana kita gagal menterjemahkan peluang, termasuk ditepis penjaga gawang (Perak, Muhammad Hafizul Hakim), kita terpaksa berputih mata.

“Akhirnya, mereka berjaya mencipta gol penyamaan yang berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan kita.

“Saya anggap itu kesilapan individu, kerana bola itu itu bukan dalam kedudukan bahaya,” katanya sedih.

Meski masih dibelit isu sama — sentuhan penyudah — David tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan permainan.

“Kedua-dua pasukan beraksi seimbang dan saling menyerang. Dan kita bermain secara terbuka, bermain untuk menang,” tambahnya lagi.

Ditanya, apakah ketiadaan Nur Syahmie Iszuan menganggu perancangan taktikalnya, David tidak menolak kemungkinan itu kerana dia berhadapan masalah kekurangan pemain gantian yang berkualiti.

“Bagaimanapun Tommy Mawat Bada dan Abdul Rahim Abdul Razak bermain dengan cukup baik malam ini,” tambahnya lagi.

Tambahnya lagi, peluang Sarawak masih belum terkubur dan perlu menang dalam aksi seterusnya menentang Kelantan.

“Ia misi yang sukar tetapi kita tidak ada pilihan. Dan kita tidak boleh bergantung harap kepada keputusan pasukan lain,” jelasnya lagi.

Dalam aksi malam tadi, Sarawak mencipta gol pertama pada minit ke-8 menerusi Mateo Roskam sebelum Faton Toski menyamakan kedudukan pada minit ke-16.

Mohd Hafiz Kamal mencipta defisit tiga minit kemudian sebelum Mohd Hairol Mokhtar mengikat kedudukan pada minit ke-21.

Abdul Rahim bagaimanapun membawa Sarawak kembali ke hadapan apabila larian solonya pada minit ke-49 berjaya menggegar gawang, sebelum Abdul Hadi Yahaya menghukum kealpaan pertahanan pada minit ke-71, bagi menjadikan kedudukan 3-3.

Sarawak kini berada di kedudukan ke-11 liga dengan kutipan 8 mata. – Sarawakvoice