Sekitar 70 penagih dadah baharu muncul setiap hari

KUALA LUMPUR: Mula-mula mengambil ubat bagi mengatasi sakit ringan, kemudian menjadi ketagih dan akhirnya menjebak individu menjadi penagih dadah.

Situasi ini dikenal pasti oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai menjadi punca pertambahan wujudnya kebanyakan 60 hingga 70 penagih dadah baharu setiap hari di negara ini.

Bercakap selepas Majlis Graduasi Pengasih 2017, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata terkini, kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi memulihkan penagih dadah.

Kerajaan memandang serius masalah pertambahan penagih dadah ini dan sentiasa mencari jalan mengatasinya.

Memetik Bernama, Nur Jazlan meminta persatuan pemulihan dadah yang dilantik di bawah Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (Masac) agar meningkatkan mutu program pemulihan masing-masing.

Nur Jazlan berkata, persatuan perlu mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) sendiri dalam operasi pemulihan mereja dan tidak bersikap terlalu bergantung dengan Masac.

Pada majlis graduasi anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Nur Jazlan memuji inisiatif persatuan berkenaan yang  melantik kaunselor bagi memantapkan keberkesanan program pemulihan penagih.

Nur Jazlan berkata, persatuan bertanggungjawab memainkan peranan penting melaksanakan program pemulihan agar penagih tidak kembali terjebak.

Bekas penagih juga wajar mendapat sokongan ahli keluarga mengeluarkan mereka daripada jebakan dadah secara menyeluruh. – Sarawakvoice