Ada yang mengaitkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas oleh Perdana Menteri sebagai tanda bahawa PRU-14 semakin dekat.

Alasannya, supaya sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab yang kini dipikul Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat diagihkan dan dipikul oleh Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan.

Bilakah PRU yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya umum itu akan diadakan?

Ada yang berkata September. Tidak kurang juga yang meramal Oktober. Tetapi yang pasti tahun ini.

Tetapi dalam politik segalanya adalah serba mungkin. Jangan pula kita fikir bahawa itu sahaja bulan PRU bakal diadakan. Jangan terkejut jika Perdana Menteri memilih untuk mengadakannya pada tahun depan, jika itu difikirkan yang terbaik untuk BN menang.

Meskipun demikian, ketika ini ramai yang meramalkan PRU14 akan diadakan pada selepas 16 September.

Mengikut fahaman golongan ini, Hari Kebangsaan, Sukan SEA dan Hari Malaysia akan digunakan untuk menaikkan sentimen kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, serta faktor ‘feel good”.

Ekspresi Negaraku  yang dilancarkan beberapa bulan lalu disifatkan sebagai kempen untuk menyatukan rakyat dan menyedarkan mereka tentang pengorbanan dan pencapaian BN.

Namun, perkembangan terbaharu di pihak BN mengukuhkan lagi ramalan bahawa sesungguhnya PRU sememangnya sudah dekat.

Kehadiran semua pemimpin parti komponen BN, termasuk Najib  dan Ahmad Zahid  serta para pemimpin BN dalam kem semangat di Institut Latihan Memperkasa Ummah, Janda Baik, Pahang, minggu lalu menjadi isyarat dan petanda kuat. Lazimnya apabila terdapat kem seperti ini, maka bermakna bahawa PRU sememangnya sudah semakin dekat.

Media melaporkan kem semangat selama tiga hari bermula 7 April lalu itu, antara lain membuat analisis mengenai kedudukan BN dalam PRU akan datang mengikut negeri. Dalam kem sedemikian, difahamkan pelbagai isu dibincangkan, termausk mengkaji kekuatan dan kelemahan BN, serta isu-isu yang dibangkitkan rakyat dan pembangkang di peringkat akar umbi. Pemimpin negeri biasanya diberi peluang untuk memberi taklimat tentang kemungkinan yang bakal berlaku. Maksudnya, dari segi prestasi BN.

Laporan analisis mengenai peratusan peluang menang di kawasan-kawasan parlimen dan DUN  turut disampaikan berdasarkan kajian dan masukan daripada pelbagai kajian dan sumber.

Benarkan bahawa BN dapat merampas Selangor daripada Pakatan Harapan?

Bagi pemerhati, BN tetap akan sukar menumbangkan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Manakala kedudukannya berisiko di Perak, Terengganu dan Kedah. Malah, sebahagian lagi kerusi BN di Sabah akan juga dirampas oleh pembangkang, terutamanya Warisan pimpinan Shafie Apdal.

Yang pasti, mengambil kira semua faktor, BN tetap akan terus berkuasa selepas PRU nanti.

Pertama, BN sebagai penyandang memiliki kelebihan dari segi media, jentera akar umbi dan wang. Kedua, parti pembangkang kini berpecah.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

Menurut Najib, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, persiapan rapi telah dan sedang dibuat oleh UMNO serta parti-parti komponen BN dan beliau yakin gabungan jentera yang kuat itu mampu mempertahankan Putrajaya.

Jadi impian pembangkang untuk menang adalah hanya omong kosong dan mimpi pada siang hari. – Sarawakvoice