Penganalisis: Gandingan Hadi, Tuan Ibrahim dapat lonjakkan Pas

SEREMBAN: Penguasaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden dan timbalan presiden Pas memberikan isyarat jelas sokongan padu berterusan akar umbi terhadap kepimpinan ulama.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan Tuan Ibrahim diisytihar menang tanpa bertanding dua jawatan tertinggi parti bagi sesi 2017-2019 oleh Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan pada Selasa lepas, selepas pencalonan ditutup pada hari yang sama.  

Pengumuman itu sekali gus menjadikan Abdul Hadi satu-satunya pemimpin Pas yang berjaya mengharungi penguasaan jawatan presiden selama 15 tahun berbanding penyandang sebelum ini Dr Burhanuddin Mohd Noor (presiden ketiga), Tan Sri Mohd Asri Muda (presiden keempat) dan Datuk Fadzil Mohd Noor (presiden keenam) yang hanya memegang jawatan itu selama 13 tahun.    

Tuan Ibrahim pula mencipta rekod peribadi sendiri apabila mengekalkan jawatan timbalan presiden selama dua penggal berbanding Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu, masing-masing satu penggal.

Penganalisis politik berpendapat gandingan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim merupakan satu gandingan terbaik pernah dimiliki Pas disebabkan ketiadaan tokoh lain yang mampu menggalas tanggungjawab dua jawatan teratas, setakat ini.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, keputusan mengekalkan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim dipercayai bagi mengelak perpecahan yang boleh menjejaskan peluang Pas dalam pilihan raya umum akan datang.    

“Akar umbi percaya kedua-dua pemimpin mampu untuk melonjakkan lagi Pas yang kini bersendirian tanpa pakatan politik. Jadi pemilihan kedua-dua pemimpin ini bertujuan untuk memperkuatkan dan mengelakkan perpecahan dalaman ketika parti sedang melakukan persiapan menuju pilihan raya umum ke-14.    

“Mereka (akar umbi) tidak mahu mengambil risiko menukar kepimpinan, apatah lagi selepas beberapa pemimpin mereka keluar dan menubuhkan parti baharu.Pemilihan kali ini mereka tetap mengutamakan kepimpinan ulama,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.    

Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN) itu juga tidak menolak kemenangan Abdul Hadi itu mempunyai hubung kait dengan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (Akta 355) yang dibentangkannya di Parlimen baru-baru ini.    

“Ia mungkin kerana akar umbi berpendapat dengan mengekalkan Abdul Hadi, RUU355 ini akan terus dibawa dan disuarakan,” katanya.    

Sementara itu, Che Hamdan Che Mohd Razali daripada Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka, Pahang berkata beliau secara peribadi melihat gabungan Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim masih relevan untuk terus memimpin Pas memandangkan setakat ini tiada tokoh lain yang dilihat mampu menjawat dua posisi tersebut.

“Dari sudut memasarkan parti kepada masyarakat Islam di Malaysia, saya tidak fikir ia tidak menjadi masalah…namun, dari segi pengaruh sokongan politik dalam menghadapi pilihan raya akan datang, gabungan kedua-dua tokoh ini belum mampu memberi keyakinan untuk membawa Pas mencapai kemenangan lebih baik berbanding pilihan raya umum sebelum ini,” katanya.    

Pensyarah UiTM itu berkata, selepas berlakunya proses yang dikatakan pembersihan parti pada pemilihan 2015, pimpinan Pas yang ada pada hari ini adalah terdiri di kalangan mereka yang wala’ (taat) dan tidak berani untuk menentang arus dalam parti, berbanding sebelum ini.

Dengan kemenangan tanpa bertanding dua jawatan teratas parti, tumpuan kali ini sudah pastinya kepada jawatan Naib Presiden yang kini menerima lima pencalonan termasuk tiga penyandang sebelum ini.

Tiga penyandang Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden ialah Ketua Penerangan Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan; serta Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.    

Sementara itu, 40 orang dicalonkan untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa Pas Pusat untuk dipilih oleh perwakilan.

Peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon berbanding dua pencalonan sebelum ini.    

Muktamar Pas Pusat ke-63 akan diadakan di Kedah pada 29 April hingga 1 Mei ini.