Pas: Syaitan besar dan kecil terus ganggu RUU355

KUALA LUMPUR: Pas berkata ia tidak menduga  betapa pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 telah mencetuskan gelombang besar terhadap perkara yang tersirat di dalam lubuk hati semua kumpulan terhadap Islam, kata Presiden Pas.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun ia bukan hukum hudud yang selalu dijadikan senjata paling tajam mengikut tanggapan semua kumpulan anti- Islam, namun tetap dikaitkan juga dengan tujuannya untuk menikam Islam daripada segenap penjuru dengan hukum Allah SWT tersebut, walaupun mereka jahil berkenaannya.

“Matlamatnya semata-mata mencacatkan wajah Islam yang murni dan mulia,’ katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang walaupun RUU 355 melalui proses demokrasi paling lembut perjalanannya melalui parlimen, dengan kebijaksanaan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia menangguh lagi untuk memanjangkan perbahasannya bagi memberi peluang lebih panjang kepada semua pihak.

“Pas dan semua yang menyokongnya daripada Umno dan lain-lain menerima dengan terbuka, namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya,” katanya.

“Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah, termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena-mengena dengan tajuk RUU 355, apabila menimbulkan Peraturan Mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355,” ujarnya.

Maka,  katanya, RUU 355 berjaya sehingga menyatukan semua penganut Islam termasuk paling jahil agamanya, namun masih wujud jati diri Islamnya tanpa mengira aliran politik dan pendidikan, kecuali segelintir yang terpinggir laksana melukut di tepi gantang.

Beliau berkata RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewaswaskan hati

Abdul Hadi berkata apabila RUU 355 adalah khusus bagi penganut Islam sahaja yang berkewajipan meninggikan kedudukan agama Islam dari segi meninggikan taraf Mahkamah Syariah yang berkait dengan penganut Islam sahaja, maka sepatutnya mereka sekurang-kurangnya berdiam dan bersikap terbuka, tetapi malangnya ada kalangan yang menunjukkan penentangan dan berkempen bagi menghalangnya, serta mengugut yang tidak bersamanya.

“Tindakan menghalangnya adalah satu kezaliman dan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam dan setiap manusia yang ingin mencari kebenaran dan kebaikan,” katanya lagi. – Sarawakvoice