Nasharudin nafi terima dana SRC International, dakwa Rafizi berniat jahat

KUALA LUMPUR: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, berhubung penerimaan sumbangan daripada SRC International Sdn Bhd.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasharudin menegaskan segala kenyataan Rafizi dalam Akuan Berkanun (SD) tidak mempunyai kaitan dengan dirinya dan beliau menyifatkannya sebagai fitnah serta berniat jahat terhadap dirinya dan PAS.

“Saya dengan ini juga menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran dan/atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh beliau (Rafizi) melalui tuduhan yang tidak berasas dalam SD tersebut,” katanya.

Nasharudin berkata beliau bukan sahaja bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang bentuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, malah telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah seterusnya.

Ia termasuk memulakan tindakan undang-undang dan apa juga tindakan wajar dilakukan menurut lunas undang-undang yang mana dianggap wajar dan suai manfaat, katanya.

Semalam, Rafizi dilaporkan mendakwa bekas timbalan presiden PAS itu menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.