KUCHING: “Saya minta mereka abaikan tekanan. Bermain seperti biasa. Fokus untuk memburu jaringan, kata pengendali Sarawak,” David Usop menjelang pertemuan dengan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri malam ini.

Menurutnya, skuad Bujang Senang itu tidak ada pilihan, melainkan mencipta kemenangan.

“Badi Stadium Negeri perlu kita akhiri. Tidak ada alasan,” tegasnya lagi.

Secara retoriknya, Stadium Negeri akan mandi bunga malam ini.

Buat pertama kali dalam sejarah, Sarawak langsung tidak pernah menang di
gelanggang sendiri, dalam aksi Liga Super musim ini.

David berkata, beliau sedar pasukannya di bawah tekanan yang amat berat.

“Semua mahu kami mencipta kemenangan. Malah semua mahu kami keluar dari zon penyingkiran liga.

“Kami pun memiliki aspirasi serupa. Sebab itu saya menuntut mereka beraksi sehabis baik.

“Serapkan tekanan dan jadikan ia motivasi untuk menang,” tambahnya lagi.

Kata David, dua penyerang muda, Nur Syahmie Iszuan dan Hafiz Abu Bakar berkemungkinan besar tidak diturunkan malam ini kerana cedera.

“Ini bermakna kita tidak ada pemain pendua pada malam ini.

Mengulas pasukan lawan, David percaya skuad The Bos Gaurus itu akan bermati-matian menafikan kemenangan Sarawak.

“Sejarah dendam di antara kedua-dua pasukan ini panjang.

“Kita menang dalam dua pertembungan terakhir dan pastinya ini akan menjadikan perlawanan pada malam ini sebagai ‘perang besar’.

Beliau menjangkakan Perak akan bermain secara taktikal di bawah jurulatih baharu, berbanding Karl-Heinz Weigang yang gemar aksi agresif.

Sarawak kini berada di kedudukan kedua tercorot manakala anak-anak buah Mehmet Durakovic kini berada di tangga kelima.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang juga pengurus pasukan, Datuk Posa Majais memberi amaran kepada pemain agar segera mencipta kemenangan.

“Terutamanya kepada para pemain import, yang ternyata masih di bawah kemampuan sebenar.

“Sekiranya masih gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan, kita tidak teragak-agak untuk menunjukkan jalan keluar.

“Terutama menjelang pembukaan jendela perpindahan pemain pada Mei depan,” katanya lagi.

Minggu lalu, David turut melaungkan amaran yang sama, dengan peluang akhir diberikan pada April ini untuk membolehkan para pemain import membuktikan betapa mereka amat berharga.

Setakat ini, satu-satunya pemain yang konsisten dalam aksi setiap perlawanan ialah pemain asal Brazil, Demerson Bruno Costa. – Sarawakvoice