Habuan lumayan menanti Sarawak jika muncul Juara Piala Tun Sharifah Rodziah

KUCHING: Bonus istimewa bakal diraih pasukan bola sepak wanita Sarawak jika mereka berjaya merangkul Piala Tun Sharifah Rodziah di Miri petang ini.

Itu janji Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menjelang aksi penting tersebut.

“Mereka telah melakar sejarah dengan layak ke final.

“Saya mahu mereka kekalkan momentum itu, teruskan lagi dengan mencipta kejuaraan pertama.

“Insya-Allah saya akan sediakan habuan istimewa,” katanya.

Sarawak layak ke perlawanan akhir melalui kelebihan sepakan penalti 3-2, setelah terikat tanpa gol dengan PDRM dalam aksi 70 minit permainan.

Kedah pula hadir ke pentas sama setelah mengecewakan Pahang 1-0.

Sementara itu Ketua Jurulatih Sarawak, Mohammad Hakimi Man mahu anak-anak buahnya bermain mati-matian untuk aksi 70 minit terakhir ini.

“Ini adalah kemuncaknya. Alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Katanya, beliau mengharapkan kekuatan mental ditambah sokongan padu penyokong untuk membolehkan sejarah baharu terlakar petang ini.

“Kita telah berjaya mengekang dua nama besar dalam kejohanan kali ini, iaitu Sabah dan PDRM.

“Justeru itu, motivasi itu perlu diheret untuk aksi terakhir petang ini.

“Saya berharap mereka (pemain) akan dapat kekalkan corak kemenangan,” jelasnya lagi.
Pertemuan Sarawak-Kedah akan berlangsung pada jam 3.30 petang di Stadium Bandaraya Miri. – Sarawakvoice