Curahan bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Saba

SARIKEI: Penduduk Rumah Panjang Saba, Enseluai, Sabe dekat sini yang kehilangan rumah panjang mereka dalam kebakaran pada Ahad lalu terus menerima curahan bantuan.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei, Mackinly Jores, penduduk rumah 17 pintu telah telah menerima bantuan awal daripada Lions Club, selain bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Saleh.

“Turut prihatin menghulurkan bantuan ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman selain sumbangan pakaian terpakai oleh Bilik Gerakan N41 Kuala Rejang.

“Pihak Fama turut menyediakan bantuan makanan selain Setiausaha Politik, Romeo Cristopher Tegong yang menghulurkan sumbangan Pejabat Ketua Setiausaha Politik, Abdullah Saidol.

Mackinly berkata, Persatuan Central Sarawak Sibu turut hadir memberi bantuan makanan manakala keperluan harian dan makanan lain dihulur Bawang Assan Lion Club.

“Turut berbudi dengan peralatan dapur dan pakaian ialah Daimond Cutter of Sibu/Sarikei manakala sumbangan makanan dan wang bantuan dihulurkan Gerakan Persatuan Dayak Sarawak, Persatuan Kebajikan Harapan Kuching, dan Perkim Cawangan Sarikei.

Pada petang semalam, mangsa turut menerima sumbangan wang daripada Persatuan Yayasan Tzu-Chi Sibu selain makanan daripada Persatuan Liu Kwee Tang Sibu.

Dalam tragedi malang itu, seorang warga emas rentung manakala 75 lagi tinggal sehelai sepinggang setelah api menjilat keseluruhan rumah panjang mereka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, ketiadaan pili bomba menyukarkan proses pemadaman rumah tersebut.

Dua jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dan Bintangor dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 33 anggota dan terpaksa menggunakan kaedah relay pumping dari kawasan sumber air terbuka untuk memadam api.

Mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai Lowest Senin Usak. – Sarawakvoice