KUALA LUMPUR: Peguam mantan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Latheefa Koya berkata pihaknya memfailkan permohonan baru mencabar sabitan bersalah kes Liwat II Isnin ini.

Memberitahu Malaysiakini, Latheefa berkata, “ini permohonan baru mencabar sabitan dan mengetepikannya.

“Asasnya adalah berlaku penipuan,” menurut Latheefa.

Pihak Anwar mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Latheefa berkata, butiran dakwaan penipuan dalam kes tersebut didedahkan kemudian.

Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta bermula 7 Ogos 2008 meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat ketetapan Anwar Ibrahim tidak bersalah atas kes liwat II berkenaan.

Namun, pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menyabitkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau.

Anwar secara konsisten mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dan sabitan berkenaan.

Sebelum ini, pihak Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan bersalah berkenaan.

Namun, permohonan tersebut ditolak pada 14 Disember tahun lalu. – Sarawakvoice