Dr Awang Azman Awang Pawi

Tentulah menggemparkan apabila Jabatan Hal Ehwal Orang Asli  Kelantan menafikan  dakwaan terdapat lebih 1000  murid orang Asli  tidak mempunyai sijil kelahiran  diri menyebabkan mereka sukar menduduki peperiksaan umum. Sebaliknya,  JHEOA  mengakui memang ada namun kurang 1000 orang murid.

Namun di Sarawak Menteri Kebajikan dan Kesejahteraan mengakui terdapat  lebih 1000 orang  pelajar di Sarawak tanpa dokumen diri atau sijil kelahiran.  Apabila tanpa dokumen diri, dari  segi undang-undang  bermaknanya ia tidak dianggap penduduk rakyat sah di Sarawak. Inilah dikatakan sebagai penduduk tanpa warganegara.

Justeru, beberapa  persoalan timbul. Mengapakah wujudnya lebih 1000 orang pelajar tersebut berlaku pada abad ke-21 ini?  Mengapakah isu ini tidak ditangani secara serius sebelum ini? Sudah 54 tahun sejak pembentukan Malaysia masalah ini masih berlaku di negeri Sarawak yang sering dilaung-laungkan sebagai sebuah negeri yang sudah maju. Sudah berapa kalikah pilihan raya demi pilihan raya berlangsung  selama 54 tahun tetapi masalah asas ini masih berlaku?

Di manakah fungsinya wakil rakyat di kawasan untuk mengenal pasti setiap  warga yang masih tanpa sijil kelahiran tersebut?

Adakah terlalu sukar mengenal pasti dengan kerjasama setiap pejabat pendidikan daerah dan Jabatan Pendaftaran Negara? Sejauh manakah kerjasama antara jabatan negeri dan persekutuan diperkasakan  bagi menangani isu ini? Apakah punca dan isu sebenar yang membawa permasalahan ini? Hal ini perlu dijelaskan kepada rakyat agar menimbulkan kesedaran dan tidak berlaku saban tahun!

Bagaimana pula kerjasama pihak residen, pegawai daerah, penghulu  dan ketua kampung dalam usaha menangani isu ini dengan menyasarkan sifar masalah ini? Sekiranya diakui oleh pihak kementerian sebagai lebih 1000 orang, maka berapakah jumlah sebenarnya yang tanpa sijil kelahiran ini?

Sudah tentu angka ini agak mengejutkan  kerana jumlah tersebut ternyata lebih ramai daripada  jumlah murid orang Asli di Kelantan  yang tanpa sijil kelahiran. Adakah statistik ini menunjukkan  Orang Asli lebih terpelihara dan terlindung daripada masalah dan isu tanpa sijil kelahiran?

Statistik ini menjadikan situasi ini hampir sama yang berlaku di negara-negara di Afrika dan beberapa buah negeri di India walaupun sudah mendambakan diri dengan ekonomi digital, politik pembangunan, Tranformasi Nasional 50, retorik kemajuan dan sebagainya.

Gerakan Bersepadu

Sudah tentu tanpa sijil kelahiran akan menyebabkan  tidak boleh ke sekolah, menduduki peperiksaan atau menerima apa-apa bantuan kebajikan.  Mungkinkah mereka yang tidak ada sijil kelahiran memilih untuk tidak bersekolah?

Kalau hal ini berlaku, maka wujudnya berlaku keciciran pelajar atau hak mendapat pendidikan asas tidak berjaya dipenuhi. Bagaimana pula nasib dan masa depan mereka untuk 20 tahun lagi?.

Di peringkat persekutuan,  penubuhan pasukan petugas  itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada  tahun 2015 selepas gesaan dibuat oleh Tan Sri Adenan Satem ketika itu yang banyak memperjuangkan tentang hak negeri Sarawak.  Beliau mengambil peranan dan melihat isu ini secara lebih serius apabila  meminta menubuhkan  pasukan petugas khas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu diminta untuk mengetuai  gerakan dan agar isu dapat ditangani lebih efisien.

Timbalan Perdana Menteri menyasarkan  penghujung tahun 2017 atau program dua tahun tiga bulan ini  untuk diadakan operasi pemutihan masalah ini. Sekolah-sekolah tertentu menjadi perhatian  kerana terdapat jumlah pelajar tanpa sijil kelahiran banyak dikesan di sekolah-sekolah.

Jadi program pendaftaran ini mengenal pasti sekolah yang terlibat dan tindakan lanjut diambil.  Prosedur ini melibatkan  pengesahan permohonan pelajar atau ibu bapa mereka dan ketua masyarakat  seperti ketua kaum dan penghulu  memainkan peranan dalam proses pengesahan tersebut.

Perakuan atau perisytiharan berkanun perlu dibuat oleh ketua masyarakat bagi mengesahkan  pemohon tersebut lahir dan tinggal di situ dan  langkah ini membolehkan permohonan sijil kelahiran dapat diluluskan secara serta-merta. – Sarawakvoice