KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melaksanakan teknologi pengadilan bantuan video (VAR) pada aksi separuh akhir dan akhir Piala Malaysia musim ini, kata Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor itu memberitahu, penggunaan sepenuhnya teknologi itu akan dilaksanakan pada musim pertandingan 2018.

Ketika ini, pengurusan tertinggi FAM telah mengenal pasti antara 15 hingga 20 pengadil berpengalaman untuk menjalani latihan sebelum ditauliahkan sebagai pegawai sepenuh masa.

“Ia bertujuan untuk melonjakkan standard pengadilan di negara ini,” katanya.

Pada Selasa lalu, seorang perunding dari London telah dijemput ke Johor Bahru untuk memberikan penerangan berhubung teknologi VAR kepada 30 pegawai Liga Malaysia dan 10 pemantau pengadil.

“Pengadil akan membuat keputusan yang utama dalam setiap perlawanan. VAR akan berperanan jika pengadil terbabit melakukan kesilapan atau memerlukan bukti,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Sukhbidin Salleh.

Jelasnya, VAR boleh digunakan untuk menyemak keputusan offside, keputusan penalti dan kesilapan arahan keluar padang atau melayangkan kad kepada pemain yang salah.

“Apa pun, keputusan untuk melakukan semakan hanya dibuat oleh pengadil. Jika pemain mendesak agar semakan dilakukan, dia akan dilayangkan kad kuning,” katanya.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor seperti dipetik ESPN FC berkata, pengadil Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tiga ke empat bulan untuk membiasakan diri dengan teknologi tersebut.

“Ketika ini, rancangan kita adalah untuk melangsungkan ujian serta mengadakan latihan untuk pengadil profesional.

Untuk menjayakan teknologi VAR ini, FAM dijangka akan berbelanja sekitar RM10 juta. – Sarawakvoice