Sarawak ke final Piala Tun Sharifah Rodziah

MIRI: Penjaga gawang kebangsaan, Asma Junaidi memimpin kemaraan Sarawak untuk layak ke akhir Piala Tun Sharifah Rodziah, sekali gus berpeluang untuk mencipta sejarah merangkul piala itu untuk kali pertama pada Sabtu ini.

Asma muncul wira apabila menampan sepakan penalti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi penentuan, selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam 70 minit masa permainan.

Bermain dengan penuh berhati-hati, Sarawak yang tampil dengan sokongan penduduk tempatan di Stadium Miri berusaha mengimbangi pengalaman PDRM, yang pernah merangkul tiga kejuaraan sebelum ini.

Anak-anak buah Hakimi Man ini langsung tidak goyah biarpun pasukan lawan lebih berkemahiran dan banyak mengatur serangan taktikal.

Malah kelincahan ayam tambatan Sarawak, Heindee Mosroh sukar dikekang, biarpun dikawal ketat oleh pertahanan PDRM.

Aksi berhati-hati itu menyebabkan kedua-dua pasukan berkubu dengan kukuh hingga akhirnya, gagal menghasilkan sebarang gol.

Dan berbekalkan pengalaman aksi penalti ketika membenam Sabah, skuad Ngap Sayot akhirnya berjaya meletakkan namanya buat kali pertama sebagai finalis kejohanan ini.

Sarawak akan berhadapan dengan Kedah, yang pada aksi petang tadi mengecewakan skuad Tok Gajah dengan jaringan 1-0 di Kelab Rekreasi Petroliam di Lutong.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika dihubungi sebentar tadi amat gembira dengan pencapaian bersejarah tersebut.

“Syabas! Harapan saya mereka akan terus bersemangat untuk berjuang habis-habisan dalam final nanti.

“Ini adalah kali pertama Sarawak melangkah ke final dan kita berharap mereka akan dapat menjuarai piala tersebut.

“Saya sendiri akan hadir dalam final itu nanti dan berharap rakyat Sarawak di Miri turun beramai-ramai untuk memberi sokongan padu,” katanya lagi.

Perlawanan pada Sabtu akan bermula jam 4.15 petang manakala perlawanan tempat ketiga dan keempat di antara PDRM dan Pahang akan berlangsung pada jam 8.00 pagi di padang Kelab Rekreasi Petroliam. – Sarawakvoice