Salon degil suntik Botox boleh diarah tutup premis niaga

KUALA LUMPUR: Pada 22 Mac lalu, Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada pusat atau salon kecantikan agar tidak menyediakan perkhidmatan suntikan Botox kerana produk itu di luar bidang kawalan mereka.

Kali ini, sekali lagi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengulangi amaran sama dan mengingatkan pengusaha bakal berdepan tindakan penutupan premis mereka jika terus berdegil.

Memetik Bernama pada Rabu, Subramaniam berkata, kementerian tidak mahu orang ramai menjadi mangsa terpedaya dengan iklan dan testimoni melampau berkaitan perkhidmatan suntikan berkenaan.

Gambar fail

Menurut beliau, prosedur kecantikan itu diklasifikasikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan sebagai sejenis ubat dan penggunaannya perlu dikendalikan oleh pengamal perubatan berdaftar terlatih.

Pada Selasa lepas, Bahagian Penguat kuasa Farmasi melalui Ops Kosmetik merampas pelbagai jenis produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang tidak berdaftar bernilai RM779,663.

Operasi tersebut memeriksa 66 salun kecantikan, spa, klinik estetik, klinik perubatan, pengedar/pemborong, kiosk kosmetik dan rumah kediaman di seluruh negara.

Antara produk farmaseutikal dalam bentuk injeksi yang dirampas ialah suntikan botox, vitamin C, glutathione, placenta dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Beliau juga berkata, 14,200 produk kosmetik yang tidak bernotifikasi bernilai RM8.5 juta dirampas dari 2015 hingga Februari tahun ini.

Sehingga Februari, 153,700 produk kosmetik bernotifikasi dengan kementerian.

Sementara, 47 produk kosmetik dibatalkan atas isu campuran palsu dengan bahan terlarang seperti hydroquinone, tretinoin dan merkuri dari 2013 hingga April 2017.

Beliau berkata, tindakan pembatalan notifikasi dan arahan panggil balik produk dilakukan daripada pasaran bagi produk yang tidak mematuhi keperluan regulatori.

Sekata ini, 20 kes didakwa di mahkamah, manakala 300 kes jualan secara dalam talian diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan. – Sarawakvoice