Putera Mahkota Jepun tiba untuk lawatan rasmi lima hari

SEPANG: Malaysia hari ini membentangkan permaidani merah bagi menyambut ketibaan Putera Mahkota Jepun, Putera Mahkota Naruhito, bagi mengadakan lawatan rasmi lima hari.

Pesawat khas penerbangan JAF0001 yang membawa Putera Naruhito mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 5.35 petang.

Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya KLIA disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga Menteri Pengiring.

Ini merupakan lawatan pertama Putera Mahkota Naruhito ke Malaysia sejak dimasyhurkan sebagai Putera Mahkota Jepun pada 1991.

Kali terakhir Putera Mahkota Jepun melawat Malaysia ialah pada 1970 yang dilakukan oleh Maharaja Akhito dan Maharani Michiko, yang ketika itu merupakan Putera dan Puteri Mahkota Jepun.

Wisma Putra dalam kenyataannya semalam menyatakan bahawa lawatan Putera Mahkota Naruhito ke Malaysia merupakan kemuncak sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

Ia berkata hubungan dua hala Malaysia dan Jepun telah berkembang dengan pesat sejak pemeteraian hubungan diplomatik 60 tahun lepas.

Satu daripada teras utama kerjasama kedua-dua negara adalah program ‘Dasar Pandang ke Timur’, kata Wisma Putra.

Semasa lawatan rasmi itu, Putera Mahkota Naruhito yang merupakan putera sulung Maharaja Akihito, dijadual menghadap Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebelum diraikan Seri Paduka pada Jamuan Makan Malam rasmi.

Putera Mahkota Jepun itu juga dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor juga akan meraikan Putera Mahkota Naruhito dan delegasi baginda pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana, Putrajaya.

Putera Mahkota Naruhito juga akan menyampaikan kuliah khas di Universiti Malaya, mengadakan lawatan ke Permata Pintar dan bertemu dengan Rosmah, penaung Program Permata.

Selain itu, baginda akan melawat Muzium Negara, Terowong Smart dan Sekolah Jepun Kuala Lumpur serta menghadiri majlis menghadap komuniti Jepun di Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Jepun.