Pas mungkin kalah di Kelantan PRU14 jika abaikan pakatan pembangkang

KOTA BHARU: Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hasan, berkata sesuatu perlu dilakukan demi membentuk semula pakatan pembangkang bagi memudahkan pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Malaysia Dateline yang memetik Berita Harian, Hazmi berkata, data terkini menunjukkan lebih 42,000 pengundi Kelantan yang bereada di luar menukarkan alamat kepada tempat tinggal di luar.

Justeru, jika sesuatu tidak dilakukan untuk mengambil hati mereka, Pas mungkin tumbang di Kelantan.

Hazmi berkata, hakikatnya sebelum ini, kemenangan Pas bergantung harap kepada undi perantau yang pulang kampung untuk mengundi.

Dengan menyeru agar Pas kembali berpakat, Hazmi berkata, pihaknya menjemput semua pemuda parti politik di Kelantan termasuk Dewan Pemuda Pas sama-sama menghadiri Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan yang berlangsung Sabtu, esok 8.30 pagi di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu.

Manakala, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa mempunyai suara senada dan masih menganggap Pas berada di pihak pembangkang.

Sukirman berkata, PKR tetap meletakkan calon di Kelantan pada PRU14 akan datang. – Sarawakvoice