KUALA LUMPUR: Berang dengan sikap tidak patriotik pasukan dan kelab, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin akan mengambil langkah drastik dengan menangguhkan beberapa jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada bulan Julai dan Ogos ini.

Ia berikutan kedegilan pasukan serta kelab untuk melepaskan pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk mengikuti latihan intensif sebelum mengharungi dua kejohanan penting.

Memetik Bernama, pengurus pasukan B-23, Datuk Wira Yusoff Mahadi menjelaskan, keputusan akhir hanya akan dibuat selepas perbincangan dengan pasukan terbabit minggu hadapan.

“Berdasarkan perancangan kita, skuad B-23 negara dijadualkan mengadakan latihan di luar negara selama sebulan pada bulan Ramadan ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Kelayakan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) B-23 2018 bermula 19-23 Julai di Bangkok dan Sukan SEA Kuala Lumpur bermula 15-30 Ogos.

Kata Yusoff, pihaknya optimis, jalan penyelesaian akan diperoleh.

“Jika pasukan enggan melepaskan pemain, kita terpaksa merombak jadual Liga M yang melibatkan beberapa perlawanan Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia.

“Keutamaan kita adalah untuk membuka ruang kepada pemain membuat persediaan.

Bagaimanapun katanya, rombakan ini akan menyebabkan aksi liga berlarutan sehingga bulan Disember, berbanding jadual asal pada hujung Oktober.

“Ini akan menjejaskan semua pasukan dengan berhadapan kekangan masa untuk persediaan pramusim kerana musim 2018 akan bermula hujung Januari.

Beberapa pasukan kelab Liga M sebelum ini enggan melepaskan pemain mereka untuk terlibat dalam persediaan untuk kedua-dua kejohanan itu yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee.

“Mungkin mereka berasa agak keberatan kerana ada tiga atau empat pemain yang terlibat.

“Ketika ini sebanyak 40 pemain disenarai panjang tetapi dalam masa terdekat kita akan memotong kepada 30 pemain sebelum memilih 25 pemain untuk latihan di luar negara.

Bagi Kelayakan Kejohanan AFC B-23, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Indonesia dan Mongolia bagi merebut slot ke pusingan akhir di China, 9-27 Januari tahun depan. – Sarawakvoice