Didakwa terima dana 1MDB: Siapa Nasharudin Mat Isa?

Siapa Nasharudin Mat Isa yang didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menerima dana daripada 1MDB?

Berusia 54 tahun beliau merupakan bekas Timbalan Presiden Pas yang menyinar bintang politiknya pada zaman pemerintahan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Bekas pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat pendidikan di University of Glasgow itu melonjak naik namanya ke papan atas selepas dipilih sebagai setiausaha agung parti pada 1999 oleh presiden ketika itu, Fadzil Noor.

Beliau merupakan antara golongan profesional yang dibawa masuk ke dalam Pas oleh Fadzil bagi memodenkan parti yang dilihat konservatif itu.

Nasharudin telah mewakili Pas di Dewan Rakyat sebanyak dua kali iaitu sebagai ahli Parlimen Yan, Kedah (1999-2004) dan Bachok, Kelantan (2008-2013).

Pada 2005, Nasharudin menewaskan veteran Pas, Hassan Shukri untuk jawatan timbalan presiden.

Namun, pada 2011 beliau gagal mempertahankan jawatan itu setelah tewas kepada Mohamad Sabu dalam Muktamar Agung Pas 2011.

Mengapa? Kekalahan berkenaan dikaitkan dengan penglibatannya dalam siri rundingan sulit menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Tindakannya itu telah mencetuskan kemarahan Mursyidul Am Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kemudian beliau  tersingkir daripada pimpinan tertinggi parti Islam.

Nasharudin  yang dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan selepas itu dilihat mesra dengan Umno, malah pernah menyertai rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertemu tokoh ulama Arab Saudi pada 2013. Beliau dipecat daripada Majlis Syura pada 2013.

Beliau yang fasih dalam bahasa Inggeris, Arab dan Urdu tidak lagi bertanding pada PRU-13.

Dua tahun lalu, beliau dilantik sebagai  Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR. GMM ditubuhkan untuk menyebarkan maklumat dan bahan berkaitan dengan kesederhanaan dan usaha menentang pelampau.

Kini media sedang memburu bekas orang kuat  Pas itu untuk mendapat komen, tetapi setakat pagi ini beliau masih gagal dijejaki. Tentu beliau merasa bahangnya dan perlu menyejukkan dirinya.

Nasharudin,  keluarlah hadapi kenyataan. Tangkiskanlah tuduhan Rafizi itu bagi membersihkan nama anda jika benar itu fitnah dan tudiuhan liar. – Sarawakvoice