Azizulhasni muncul Raja Keirin Dunia malam tadi

KUALA LUMPUR: Jaguh trek basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas dalam acara Keirin di Kejuaraan Dunia 2017 di Hong Kong sebentar tadi.

Pecutan The Pocketrocket itu menewaskan pelumba Colombia, Fabian Puerta Zapata di tempat kedua dan Tomas Babek dari Republik Czech di tempat ketiga.

Ini gelaran dunia pertama yang dimenangi pelumba kelahiran Terengganu itu selepas memenangi gangsa dalam dua edisi sebelum ini.

Kemenangan ini membolehkan Azizulhasni muncul atlet negara pertama memenangi emas Kejohanan Trek Dunia.

“Selama 10 tahun saya menanti saat ini, akhirnya berjaya menjadi Raja Keirin.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya saya berjaya muncul juara,” katanya yang juga
pemenang gangsa Olimpik Rio.

Turut meraikan kejayaan Azizulhasni meraih jersi pelangi itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menerusi twitter masing-masing. – Sarawakvoice