Bandar raya Kuching yang saya impikan

Di sebalik tentangan dan protes sesetengah pihak terhadap tindakan DBKU meroboh bangunan Open Air Market di tengah-tengah bandar raya Kuching, kita perlu terima justifikasi di sebalik tindakan tersebut.

Saya tidak fikir pihak kerajaan mengambil tindakan terburu-buru. Semua aspek dan faktor tentu telah diambil kira sebelum ia dirobohkan.

Bagi para peniaga di situ tentu, ia lebih mendukacitakan, namun bukan kepentingan peniaga sahaja perlu diambil kira. Semua pihak dan semua faktor tentu telah dipertimbangkan sebelum ia dilakukan.

Saya tidak fikir pihak DBKU  senang hati melakukannya. DBKU tentu juga punya sifat kemanusiaan, tetapi kepentingan umum tentu lebih diutamakan.

Tentu pihak berkuasa juga telah mencari alternatif lain untuk menempatkan peniaga yang terjejas susulan tindakan itu.

Setelah banyak berjalan ke pelbagai bandar dan kota dunia, saya berani mengatakan, kawasan terbabit adalah antara yang paling ‘jelek’ yang pernah saya lihat. Malah, saya ingin menyeru kepada pihak berkuasa, khususnya DBKU supaya meneliti semula, memikirkan secara mendalam bagaimana untuk memperbaiki  dan mengindahkan kawasan di sekitar Electra House itu.

Jalan rayanya dan tempat siar kaki perlu ditingkatkan kualiti bahannya – mengikut standard kota dunia, bukan yang berkelas rendah. Ia perlu betul-betul menggambarkan  ciri sebagai jantung kota.

Lakukan yang terbaik dengan mengambil contoh bandar raya dunia yang lain.

Kita perlu lakukan yang terbaik dan meletakkan tanda aras baharu untuk bandar raya kita. Kadangkala kita perhatikan kerja dibuat semacam ad hoc, dengan kualiti yang di bawah piawai bandar raya berkelas dunia. Cuba tengok kualiti di bandar raya Eropah atau di Jepun dan Korea Selatan sebagi contoh.

Kita perlu mengambil kira aspek keindahan atau estetika dari segi menyediakan bangunan dan kemudahan, selain memastikan standard yang tinggi.

Bandar raya yang saya impikan ialah bandar raya yang bukan saja kemudahannya berkelas dunia, tetapi warganya  yang punya mentaliti kelas dunia. Tetapi itu jauh panggang dari api. Tengok perangai mereka dari segi kebersihan dan menggunakan tandas.

Warga Sarawak sebahagiannya masih lagi tidak kisah dengan kebersihan dan keindahan. Mereka mempunyai perangai buruk, membuang sampah sesuka hati, termasuk membuang sampah ketika memandu. Mereka mungkin memandu kereta mewah seperti BMW dan Mercedes, tetapi mereka sebenarnya tidak ada kelas.

Jadi, kita tidak perlu terlalu nostalgik dengan Open Air Market itu. Kita perlu bergerak ke hadapan – lagipun nilai sejarah yang didakwa oleh penentang, yang dimiliki oleh bangunan tersebut tidaklah bersejarah sangat. – Sarawakvoice

Foto Reelfxstudio “I love Kuching City”