KOTA SAMARAHAN: Bertempat di DeTAR Putra, kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 19 hingga 20 April akan datang, 100 majikan dijangka menyertai Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Sarawak 2017.

Berita baik kepada calon yang ingin memasuki dunia pekerjaan kerana SL1M sedia menawarkan sekitar 10,000 peluang pekerjaan dan latihan bekerja kepada calon terpilih.

Ketua Sekretariat SL1M, Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail mengalu-alukan orang ramai dan graduan yang mencari pekerjaan mengunjungi program temu duga terbabit.

Program kelolaan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri itu terbuka kepada semua pengunjung tanpa mengira had umur dan peringkat kelulusan termasuk 16,000 pelajar Unimas sendiri.

Bercakap pada sidang media bersama Dekan Pusat Pembangunan Pelajar Unimas, Profesor Dr Siti Raudzah Ghazali di DeTAR Putra pada Isnin, Norashikin berkata, penganjur menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung ke program dua hari bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang itu.

Beliau berkata, siswazah yang berjaya dipilih oleh majikan pada program tersebut menyertai latihan SL1M dengan syarikat mereka dan layak menerima elaun latihan dari RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan selama setahun.

Kini kadar pengangguran di kalangan graduan menjangkau 250,000 orang di seluruh negara.

Hal ini berpunca daripada sikap majikan yang tidak sekadar memilih graduan cemerlang akademik, bahkan pengalaman calon menjadi pertimbangan.

SL1M membolehkan majikan memilih untuk menyerap graduan berpotensi yang menamatkan latihan skim itu sebagai pekerja.

Sebelum ini ramai majikan mengeluh graduan yang diambil bekerja tidak mampu melaksanakan tugas sebagaimana dibayangkan semasa temu duga.

Justeru, latihan dan pengalaman yang diberikan mewajarkan mereka memenuhi kriteria memasuki dunia pekerjaan.

Setakat ini, menurut Norashikin SL1M berjaya membantu 100,000 graduan di seluruh negara mendapat pekerjaan melalui skim latihan terbabit.

Norashikin turut mengalu-alukan syarikat tempatan yang lain mengunjungi program terbabit bagi mendapatkan maklumat SL1M.

Menurut beliau, syarikat yang menyertai SL1M mendapat Insentif Cukai Berganda atau Skim HRDF-SL1M. – Sarawakvoice