KUCHING: SACOFA Sdn Bhd (Sacofa) yakin akan dapat merealisasikan pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di negeri ini, dalam tempoh lima tahun akan datang yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Pengarah Urusannya, Mohamed Zaid Zaini berkata, dengan pengalaman dan keupayaan yang dimiliki, pihaknya sentiasa bersedia untuk melaksanakan aspirasi Digital Sarawak.

“Kita memiliki kepakaran dalam penyediaan infrastruktur, terutama pembinaan menara telekomunikasi selain menyediakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan capaian jalur lebar di seluruh negeri,” katanya semalam.

Zaid berkata, ketika ini pihaknya memiliki 300 kontraktor yang berkemampuan melaksanakan tanggungjawab ini, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Daripada jumlah ini, 140 kontraktor mempunyai pengkhususan dalam pembinaan dan pemasangan menara telekomunikasi, manakala selebihnya terlibat dalam kerja-kerja pemasangan fiber optik.

Jelasnya lagi, 99 peratus daripada kontraktor terbabit merupakan rakyat tempatan dan mereka begitu bersemangat untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai  95 peratus liputan jalur lebar di negeri ini menjelang tahun 2020.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sendiri insiatif pemasangan menara ini, berikutan kelembapan birokrasi Kerajaan Pusat menjayakan usaha membangunkan liputan jalur lebar ke seluruh negeri Sarawak, akibat kekangan geografi.

Dengan nada serius untuk menukar langit Sarawak kepada awan digital, Abang Johari kemudian mengumumkan penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SAMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

Ketika ini, Sarawak hanya memiliki 1,420 menara telekomunikasi; menjadikannya negeri ketiga terendah dari segi liputan jalur lebar di Malaysia, selepas Kelantan dan Sabah.

Dianggarkan kos untuk setiap menara adalah sekitar RM500 ribu hingga RM1 juta dan Abang Jo telah meletakkan pelaburan RM1 bilion untuk tujuan itu.

Ia bertujuan untuk memastikan seluruh negeri menerima liputan jalur lebar yang jelas, lancar dan laju melalui prasarana fiber optik dan pengkomputeran cloud. – Sarawakvoice