Bohong dirogol pemandu teksi, remaja, 15, lakukan seks dengan kekasih, 17

KOTA BHARU: Takut dan rasa bersalah dengan perbuatannya, pelajar berusia 15 tahun membuat tuduhan palsu bahawa dia dirogol pemandu teksi semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ketereh.

Sebaliknya menurut polis, remaja terbabit sebenarnya meluangkan masa bersama teman lelakinya di Dabong, Kuala Krai pada hari kejadian, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, semasa siasatan, remaja terbabit mengaku berjumpa teman lelakinya berusia 17 tahun.

Bahkan, dia mengaku melakukan hubungan seks secara suka sama suka dengan lelaki berkenaan.

Abdullah berkata remaja terbabit hanya mereka-reka cerita tersebut.

“Kes itu dimanipulasikan dan siasatan polis mendapati pemandu teksi seperti yang didakwa sebagai pelaku dalam kes tersebut tidak wujud,” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiandigest.com memetik Utusan Online.

Menurut Kosmo pada Isnin, remaja berkenaan takut pulang ke rumahnya di Ketereh dan dia membuat laporan polis palsu dengan mengaitkan pemandu teksi merogolnya.

Kejadian pada Ahad itu menjadi viral di laman sosial Facebook dengan dakwaan gadis menjadi mangsa nafsu buas dirogol pemandu teksi yang kemudian meninggalkannya di tepi jalan di Tanah Merah.

Lebih liar lagi, kisah viral itu dipanjangkan netizen mengisahkan seorang pelajar menaiki teksi selepas mengadakan perjumpaan kali kelima dengan doktor berkaitan pembedahan sakit usus yang dihidapinya.

Group Facebook IRD Kelantan menambah cerita tersebut bahawa: “Suspek merupakan orang tua pemandu teksi Iswara merah, memakai spek dan berkopiah lari ke arah kampung….” – Sarawakvoice