Berjaya anjur Seminar Pemikiran Nik Aziz, Amanah sedia disaman!

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, Parti Amanah Negara (Amanah) sedia mengadakan lagi “Seminar Pemikiran Nik Aziz” pada masa akan datang.

Anuar berkata, meskipun dibantah ahli keluarga bekas mursyidul am Pas itu, Amanah sedia berdepan tindakan saman demi membincangkan pemikiran Nik Aziz yang mendapat sambutan luar biasa peserta.

Seperti disiarkan FMT pada Isnin, Anuar berkata keluarga Allahyarham Nik Aziz berhak berbuat demikian, namun di negara demokrasi, rakyat juga berhak membincangkan tajuk berkenaan demi mengekalkan falsafah Nik Aziz.

Seminar berkenaan yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor menampilkan beberapa bekas pemimpin Pas antaranya Penasihat Umum Amanah Ahmad Awang, Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden yang baru dilantik Datuk Husam Musa yang kini bersama Amanah sebagai pembentang kertas kerja pada Ahad lepas.

Seminar berkenaan mendapat sambutan luar biasa sehingga live streamingnya mencapai tontonan lebih 100,000 audiens.

Menurut Anuar, Amanah turut mengangkat nama tokoh lain selepas Nik Aziz termasuk Yusof Rawa, Datuk Dr Burhanuddin Muhammad Nur al-Hilmi, Datuk Dr Zulkifli Muhammad, Ibrahim Yaakob dan lain-lain.

Sebelum ini, Nik Adli, mahu mengambil tindakan mahkamah ekoran Amanah menganjurkan seminar pemikiran ayah mereka.

Nik Adli sebelum ini berkata, keluarga Nik Aziz tidak mengizinkan nama ayah mereka dijaja oleh Amanah.

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali di Facebook mendakwa Amanah melakukan jenayah intelek apabila menganjurkan seminar berkenaan.

Ia dianjurkan seolah-olah menggambarkan Amanah selaras pemikiran ulama terkenal berkenaan.

Khairuddin menyifatkan ia sebagai manipulasi terhadap pemikiran seseorang yang telah tiada di dunia ini dan menganggap Tok Guru Nik Aziz tiada kaitan dengan Amanah.

Khairuddin berkata, Tok Guru istikamah bersama Pas sehingga ke akhir hayatnya dan tidak pernah menyeru sesiapa keluar Pas. – Sarawakvoice