Felda tandatangani ikrar bebas rasuah

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan agensi itu bebas daripada rasuah.

Felda dalam satu kenyataan berkata IBR itu memberi penekanan kepada ikrar dan janji dibuat kepimpinan organisasi dan warganya untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar itu akan lebih bertanggungjawab dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

“Selain itu, ia bertujuan menanam perasaan benci kepada jenayah rasuah dalam warga organisasi dan secara tidak langsung memastikan agar jenayah itu tidak menular di Felda,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, lafaz ikrar itu diketuai Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Ekonomi) Felda, Ab Ghani Mohd Ali serta melibatkan semua Ahli Lembaga Pengarah Felda, pengurusan tertinggi dan petugas-petugas kumpulan itu.

Hadir menyaksikan lafaz dan menandatangani ikrar itu ialah Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Pada majlis sama, Shahrir turut melancarkan Polisi dan Prosedur Pemberi Maklumat Felda iaitu satu mekanisme rasmi bagi tindakan yang bakal diambil ke atas semua maklumat dan aduan yang diterima.

Kenyataan itu berkata ia memberi ruang kepada individu untuk mendedahkan sebarang kelakuan tidak wajar dalam organisasi itu.