Bayi baru lahir mati di dalam tong sampah, polis tangkap suspek selepas dua jam penemuan di Samajaya

KUCHING: Sedih, geram dan marah, itu suasana yang digambarkan terhadap sekumpulan penduduk di Apartmen Samajaya semalam susulan penemuan mayat seorang bayi di dalam kotak, sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Bayi perempuan baru lahir itu ditemui  seorang wanita yang juga pekerja pembersihan sekitar jam 10 pagi tadi, di apartmen tersebut yang terletak di Jalan Usahajaya, Samajaya, dekat sini.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, terkejut dengan penemuan tersebut, wanita terbabit segera memaklumkannya kepada pihak pengurusan apartmen, yang kemudian melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Menurut Dev, bertindak atas maklumat tersebut, sekitar jam 12.30 petang tadi, sepasukan anggota siasatan jenayah Kuching yang diketuai Asisten Superintendan Ooi Jin Bing menahan seorang wanita berusia 24 tahun di salah sebuah unit apartmen di situ.

“Wanita ini yang berasal dari Belaga merupakan pelajar tahun ketiga pengajian diploma di sebuah kolej berhampiran.

Berdasarkan siasatan katanya, bayi tersebut dilahirkan sekitar jam 6.30 pagi tadi di dalam bilik air unit apartmen yang didiami wanita terbabit.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan melupuskan mayat.

“Jika polis menemukan bukti bahawa bayi tersebut masih hidup semasa dibuang, polis tidak teragak-agak untuk mendakwa wanita ini atas kesalahan membunuh,” tegasnya.

Kes ini merupakan yang pertama melibatkan pembuangan bayi pada tahun ini berbanding 10 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas. – Sarawakvoice