Pas Pusat telah didesak akar umbi supaya memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Malah, Pas sendiri bertekad tidak akan mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.

Kerjasama semua parti pembangkang penting bagi memastikakan ia dapat menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum  (PRU) akan datang.  Ketika ini BN pun sudah menyatakan keyakinan untuk memenangi sekitar 128 kerusi.

Jika parti pembangkang berbalah sesama sendiri,  sudah tentu ini akan menguntungkan BN.

Imej pembangkang tentu akan terjejas dan bagaimana mungkin rakyat dapat mengharapkan mereka untuk memimpin jika mereka asyik bertelagah dan berkelahi?

Kelihatan sekarang, parti pembangkang tidak boleh diharapkan untuk menggantikan BN walau apa-apa pun komen orang tentang BN.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dipetik media sebagai berkata, pembangkang termasuk Pas tidak sepatutnya menzahirkan perkara yang boleh menampakkan kelemahan atau perpecahan sesama parti.

Keadaan ketika ini sangat genting dalam keadaan negara bakal berhadapan pilihan raya. Segala sumber, tenaga, masa dan sebagainya perlu difokuskan ke arah itu, dan bukannya saling menuduh.

Satu daripada kemestian atau syarat yang perlu dipenuhi untuk memastikan BN dapat ditumbangkan adalah dengan menjalin kerjasama politik yang padu.

Jika hal ini gagal dicapai, impian besar untuk ke Putrajaya pasti akan gagal juga.

Tidak ada mana-mana parti yang dapat memenangi PRU tanpa kerjasama parti-parti lain – baik di pihak BN atau pembangkang.

Tetapi,  Pas ikut kepalanya sendiri, dan kini mahu bertanding di 80 kerusi Parlimen, hampir pasti pembangkang akan kempunan lagi pada PRU nanti yang dijangka diadakan pada bulan September atau Oktober.

Pembangkang sepatutnya  memberi tumpuan  untuk merencanakan strategi dan menjalin kerjasama padu jika ia memang berhasrat untuk menumbangkan kerajaan

Adakah Pas yakin ia akan dapat menang besar tanpa dukungan parti pembangkang yang lain? Adakah Pas sedar bahawa kemenangannya dalam PRU-12 dan PRU13 adalah disebabkan kerjasama dan kekuatan pembangkang pada keseluruhannya.

Pas perlu memikirkan kaedah untuk menguatkan pembangkang bagi menggantikan BN, dan bukannya membangkitkan  isu yang melemahkan keyakinan rakyat menyokong pihak terlibat.

Rakyat tidak akan  yakin kepada parti yang gagal memperlihatkan kesatuan dan perpaduan atau hanya mementingkan diri sendiri. Rakyat muak dengan pembangkang yang bagai tidak pandai bertolak ansur dan berkompromi.

Ketika negara bakal berhadapan PRU, Pas perlu meletakkan keutamaan untuk memastikan kekalahan BN.

Kecualilah Pas memang  tidak berminat untuk memerintah.

Pas kali tentu akan sekali lagi menggigit jari dan putih mata. – Sarawakvoice