Kenderaan berat guna tayar celup, antara punca kemalangan di jalan raya

KUALA LUMPUR: Kecenderungan pemilik kenderaan berat seperti lori, treler dan bas menggunakan tayar celup tanpa kelulusan Sirim Berhad mengancam keselamatan pengguna lain di jalan raya.

Tayar celup lebih murah berbanding tayar baharu yang mencecah harga sehingga RM2,000 sebiji mengikut jenama dan saiz berbanding tayar celup sekitar RM500 sebiji.

Tayar celup diperbuat daripada tayar lama dan  ditambah bahan getah, menjadikannya seakan-akan tayar baharu.

Memetik Bernama pada Sabtu, Penaung Kelab Pemandu Lori Malaysia, Ahmad Faizol Yaakop, 28, mendakwa penggunaan tayar celup mengurangkan kos operasi syarikat, tetapi ia dapat menjadi antara punca kemalangan berlaku.

Menurut Faizol, tayar celup murah, tetapi ia boleh meletup bila-bila masa serta serpihannya dapat memecah cermin kenderaan berhampiran.

Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) melaporkan 1,485 kes kemalangan di lebuh raya pada 2016 berpunca daripada kenderaan melanggar objek di atas jalan raya.

Sebanyak 41.3 peratus daripada objek tersebut ialah tayar dan serpihan tayar.

Faizol sendiri bekerja sebagai pemandu lori yang membawa muatan kereta eksport mewah berpusat di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, demi memastikan kenderaan berat selamat dipandu untuk jarak jauh, kerajaan perlu memastikan usia kenderaan berat tidak melebihi 15 tahun.

Faizol turut menyarankan agar pemandu mendapat tidur dan rehat yang cukup bagi memastikan mereka fokus semasa memandu.

Beliau turut mendakwa tekanan majikan yang meminta pemandu kenderaan berat tiba di sesebuah destinasi dengan cepat dan tergesa-gesa menyumbang kepada berlakunya kemalangan. – Sarawakvoice