Husam harap puak rasional menang muktamar Pas dan sertai Pakatan Harapan

SHAH ALAM: Mantan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa tidak berputus asa mengharapkan parti Pas menyertai Pakatan Harapan (Harapan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun ini.

Meskipun Pas sudah mengumumkan tidak menyertai Harapan atas alasan tidak serasi dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dianggap musuh baru, pintu penyertaan Pas belum lagi tertutup.

Gambar fail

Memetik sumber FMT pada Sabtu, Husam berkata beliau berharap “kumpulan rasional” dalam Pas mampu mengambil alih pucuk pimpinan Pas dalam muktamar berlangsung 27 April hingga 1 Mei di Kedah, seterusnya memberi nafas baru melakar perjuangan Pas.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, “masih ada harapan tetapi mereka perlu berunding dengan PH secara keseluruhan dan bukan hanya komponen,” ujar beliau pada majlis dialog yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat.

Husam masih menyimpan harapan agar pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional melawan pembangkang berlaku di Kelantan.

Husam berpendapat pertembungan tiga penjuru tidak menguntungkan Pas yang berisiko kehilangan kuasa di Kelantan.

Husam berkata Pas mempunyai pilihan sama ada bekerjasama dengan BN atau Harapan demi mengelak perlawanan tiga penjuru.

Husam yang dipecat keahliannya daripada Pas pada April 2016 menyertai Amanah pada 30 Ogos 2016 pada majlis Makan Malam Ambang Merdeka di Cyberjaya. – Sarawakvoice