KDN tiada halangan majikan ambil pekerja Korea Utara – Masir Kujat

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri tidak berhalangan jika ada majikan di negeri ini berhasrat mengambil pekerja Korea Utara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.

Akan tetapi tegasnya, majikan terbabit harus berurusan dengan Jabatan Imigresen Sarawak dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Jika ada permintaan dari kilang atau syarikat tertentu, ia perlu mengikuti prosedur yang sedia ada.

“Selepas itu, Jabatan Imigresen Sarawak akan membuat siasatan dan penilaian untuk menentukan ia dapat diluluskan atau sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Watikah Pelantikan Lembaga Hakim Pelawat di Pejabat Penjara Negeri Sarawak di Jalan Puncak Borneo, di sini, semalam.

Jelas Masir, hubungan diplomasi Malaysia dan Korea Utara masih terjalin dan belum terputus biarpun berlaku sedikit keretakan berhubung insiden pembunuhan seorang warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur Kedua (klia2).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah memberi jaminan bahawa kita masih memiliki hubungan diplomasi dengan Korea Utara dan penduduk negara itu masih boleh memasuki negeri ini dengan visa,”katanya.

Sarawak sebelum ini memiliki lebih seratus pekerja Korea Utara yang terlibat dalam perlombongan arang batu dan pembinaan. – Sarawakvoice