PKS kekal kukuh, sumbang 16-18 peratus kepada eksport negara

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berjaya mengekalkan prestasi kukuh dengan menyumbang 16 hingga 18 peratus kepada eksport negara biarpun berdepan penyusutan nilai ringgit, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata jumlah itu turut mencerminkan peranan besar PKS sebagai antara tulang belakang ekonomi negara.

“Walaupun penyusutan ringgit Malaysia memberi impak besar terhadap ekonomi negara terutama eksport produk dan perkhidmatan, PKS sebaliknya berjaya mengekalkan prestasi yang kukuh,” katanya pada Majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2017 di sini semalam.

Majlis anjuran portal maklumat perniagaan, niagatimes.com itu bertujuan mengiktiraf sumbangan usahawan tempatan terhadap pembangunan ekonomi negara.

Mengulas majlis itu, Henry menyifatkan program sedemikian mampu mendorong usahawan mengejar kecemerlangan dalam bidang perniagaan selain memupuk semangat keusahawanan yang tinggi.

“Program seperti ini secara tidak langsung dapat mewujudkan platform untuk syarikat tempatan, sama ada baharu atau lama selain berpotensi untuk mendapat perhatian dalam skala yang besar,” katanya.

Beliau berkata, usahawan yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara juga harus diiktiraf dan diberi galakan untuk bersaing sehingga ke peringkat global. Bernama