Dua cedera, termasuk lecur seluruh badan dalam tragedi kilang solar terbakar di Samajaya

KUCHING: Seorang pekerja kilang warga China melecur seluruh badan manakala seorang lagi cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang mesin mekanikal di Zon Perindustrian Bebas Samajaya dekat sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran di kilang pengeluar produk solar monocrystaline, Longi Sdn. Bhd. sekitar jam 7.11 pagi tadi.

“Sebuah jentera Hazmat, sebuah jentera bomba, dua kenderaan utiliti dan dua motosikal berkuasa besar bomba dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.

“Mereka dibantu oleh sebuah ambulans EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching dengan kekuatan tiga anggota.

Kata Ling Hii, setibanya mereka di lokasi tiga minit kemudian, pasukan mendapati kebakaran melibatkan mesin mekanikal kilang.

“Namun ia telah dapat dipadamkan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) kilang dengan menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan bangunan tingkat atas kilang yang berkeluasan 250 meter x 200 meter, dan telah terbakar 40 peratus.

Pihak bomba kata Ling Hii, kemudian bertindak membuat pemantauan di lokasi berkenaan disebabkan masih terdapat asap pada bangunan kilang tersebut sehingga keadaan kembali selamat.

Jelas Ling Hii lagi, dua mangsa yang mengalami kecederaan tersebut telah diserahkan kepada pasukan paramedik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang cedera kemudian dikenal pasti sebagai Qhairul Apdar Mohd Firdaus, 23 tahun, manakala mangsa yang melecur seluruh badan dikenal pasti sebagai Liang Yuu, seorang warganegara China.

“Mereka cedera disebabkan terkena tempias air panas ketika pemadaman automatik dilakukan terhadap mesin terbabit,” jelasnya. – Sarawakvoice