Usahawan PKS S’wak perlu sertai ekonomi digital perluaskan pasaran global

KUCHING: Masih ramai usahawan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) di Sarawak khususnya di luar bandar masih belum mendaftarkan perniagaan mereka dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia).

Sekitar 35,000 usahawan terbabit ada yang bergiat separuh masa kerana ada yang bekerja sebagai kakitangan awam atau berniaga sampingan secara online.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Menteri Muda Perancangan Sumber, Datuk Mohd Naroden Majais berkata Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Pusat berjaya menambah hampir 10 kali ganda usahawan mencecah 60,000 pada 2016 berbanding 6,000 usahawan pada 2005.

Bercakap merasmikan Seminar Transformasi PKS 2017 di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak, di Taman Perindustrian Demak Laut pada Isnin, Naroden berkata Sarawak masih ketinggalan berbanding negeri lain di Semenanjung dari segi menambah bilangan usahawan perniagaan terbabit.

Faktor ini berpunca daripada jumlah penduduk Sarawak yang rendah sekitar 9 peratus penduduk Malaysia, selain ramai yang tinggal berselerak di luar bandar.

Jumlah penduduk yang rendah menyebabkan pasaran produk juga kecil meskipun kos pengeluaran produk lebih kurang sama berbanding kos pengeluaran produk usahawan negeri lain di Semenanjung.

Bagaimanapun, Kerajaan tetap memandang tinggi pembangunan usahawan PKS dengan menyediakan pelbagai bantuan dana, promosi, penyediaan geran, memberi latihan, meningkakan mutu kerja serta pengurusan.

Naroden menyeru usahawan PKS tempatan sedia menghadapi perubahan ekonomi negeri ini kepada ekonomi digital yang sudah dirancang Kerajaan Negeri.

Peserta perlu belajar menguasai media sosial serta blog atas talian bagi tujuan mempromosi dan memperluas pasaran produk ke luar dari Sarawak termasuk ke luar negeri dan luar negara menggunakan jaringan internet. – Sarawakvoice