Pelajar Tingkatan 4 dicekup di Jalan Astana kerana miliki dan positif dadah

KUCHING: Polis Kuching semalam menahan seorang pelajar Tingkatan 4 di Jalan Astana di sini, kerana disyaki memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, remaja berusia 16 tahun itu dicekup di sebuah rumah sekitar jam 3 petang hasil serbuan sepasukan anggota Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita telah menjumpai satu paket plastik lut sinar mengandungi 35 keratan straw berwarna merah.

“Setiap straw ini mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu seberat 6.40 gram dengan harga pasaran RM1152.

Kata Abang Ahmad, turut dirampas wang tunai bercampur-campur bernilai RM445 disyaki hasil jualan dadah.

“Berdasarkan saringan awal pula, kita dapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.

“Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta yang sama.

Abang Ahmad turut menasihati ibu bapa agar mengawasi anak-anak mereka, dan melakukan intervensi awal jika ada tanda-tanda mereka akan terlibat dalam gejala negatif seperti dadah. – Sarawakvoice