Mencari penawar penyakit seperti Aids, kanser di hutan farmasi S’wak

BINTULU: Sektor perhutanan masih memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak.

Bagi tempoh 10 tahun lagi, hasil perhutanan Sarawak dianggar mampu mencapai jualan sekitar RM500-RM700 juta setahun.

Sementara, hasil eksport dan produk balak pula mencapai sehingga RM7 bilion setahun.

Jasa sektor perhutanan negeri ini memberi peluang pekerjaan kepada lebih 100,000 penduduk Sarawak.

Meskipun begitu, menurut Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, masanya akan tiba pengeluaran kayu dari estet perhutanan berkurangan.

Sampai masanya Sarawak mungkin tidak lagi mengeksport balak dari hutan apabila Sarawak komited melindungi hutan semula jadinya.

Berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak 2017, Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata Kerajaan Negeri komited melindungi hutan daripada sebarang aktiviti memusnahkan hutan termasuk memerangi pembalakan haram.

Justeru, bagi Awang Tengah program penanaman semula hutan perlu dipercepatkan supaya Sarawak tidak bergantung sepenuhnya kepada hutan semula jadi.

Awang Tengah merangkap Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan berkata, “ini perlu dilakukan secara kreatif demi memastikan kita dapat meningkatkan industri hiliran.”

Menurut Awang Tengah, paling penting sekarang Sarawak perlu meningkatkan teknologi baharu yang mampu memberi manfaat kepada negeri ini.

Sementara itu, Awang Tengah berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyelidikan dilakukan ke atas khazanah hutan untuk dibangunkan menjadi produk farmaseutikal.

Menurut beliau, penyelidikan yang tepat mampu menjadikan hutan Sarawak sebuah pusat farmasi besar bagi tujuan perubatan.           

Awang Tengah mengalu-alukannya usaha tersebut terutama sokongan badan bukan kerajaan (NGO) selain meningkatkan usaha memelihara dan memulihara hutan.

Selain pokok Bintangor yang mempunyai potensi untuk mengubat AIDS, penyelidikan perlu diteruskan termasuk mencari tumbuhan untuk rawatan kanser.

Selain itu, melalui Industri Penanaman Pokok (ITP) kajian dan penyelidikan dapat dirancakkan lagi seperti yang dilakukan ke atas pokok akasia. – Sarawakvoice