MRT, LRT Kuching: Abang Johari perlu laksanakan MRT dalam 5 tahun

Bandar utama di negeri ini, terutama Kuching semakin sesak. Kesesakan dijangka bertambah teruk dalam beberapa tahun lagi. Perjalanan dari Matang ke Kota Samarahan, misalnya ketika hendak turun ke pejabat mengambil masa sekitar sejam. Kalau berlaku kesesakan, akan lebih lama lagi.

Bayangkan keadaannya dalam 10 atau 20 tahun lagi?

Justeru, langkah praktikal dan segera perlu diambil sebelum terlambat. Inilah masanya untuk melaksanakan sistem pengangkutan yang lebih efisien dan  moden, termasuk sistem aliran transit ringan (LRT) atau kemudahan aliran transit massa (MRT).

Sistem sedia ada, iaitu jalan raya biasa sudah tidak lagi memadai.

Kita perlu berfikir di luar kotak dan memilik pandangan jauh. Kita perlu memiliki wawasan dan keberanian untuk melakukan anjakan atau transformasi dari segi melaksanakan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat.

Pemimpin dipilih untuk memikirkan dasar dan langkah yang terbaik untuk rakyat. Kita perlukan pemimpin transformatif.

Mereka mempunyai kuasa dan upaya untuk melakukan perubahan.

Ketua Menteri yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah berkata, sistem pengangkutan awam turut diberi tumpuan dalam pembentukan Pelan Induk Pembangunan Semula Bandar Sarawak yang akan bermula pada tahun ini.

Beliau dipetik sebagai berkata, keputusan akhir mengenai jenis sistem pengangkutan awam tersebut akan menunggu hasil cadangan kajian pelan induk tersebut.

“Kajian ini yang melibatkan bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri itu akan mengambil masa lapan hingga 12 bulan,” katanya ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri.

“Dan pada tahun 2018, kita dijangka akan mula melaksanakannya,” katanya ketika itu.

Abang Johari menjelaskan, kemudahan pengangkutan tersebut dicadangkan kerana Sarawak kini semakin berkembang, terutamanya dengan kejiranan satelit yang semakin bertambah.

Sesungguhnya, perancangan tersebut harus mengambil keperluan untuk 20 ke 50 tahun akan datang.

Sarawak memiliki populasi yang cukup, dengan Kuching dan Samarahan sahaja, menjangkau sejuta lebih penduduk pada hari ini.

Kita tidak boleh menunggu sehingga keadaan bertambah tenat.

Jalan raya sedia ada tidak lagi memadai.

Sesungguhnya, perancangan awal untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang efektif di Kuching terutamanya adalah kerana Kuching akan dibangunkan sebagai bandar raya kompetitif dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selain Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Kinabalu di Sabah.

Oleh kerana bandar raya ini sekarang tidak begitu sesak, maka elok kita merancang lebih awal sistem pengangkutan yang efektif seperti MRT kerana kalau sudah sesak nanti, sudah tentu susah hendak membuat perancangan.

Kerajaan Negeri merancang menyediakan sistem pengangkutan untuk menghubungkan Kuching, Samarahan dan Serian.

Ketiga-tiga bahagian ini harus dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang efektif.

Kita dapat bayangkan, stesen MRT itu pasti bukan diletakkan di bandar Kuching, tetapi di Kota Samarahan kerana tanah masih banyak di bandar itu.

Berapa banyakkah stesen untuk MRT berkenaan? Pasti jumlahnya melebihi 20 buah stesen bagi memudahkan mereka di Kota Samarahan, Tebuan, Batu Tiga, Kota Sentosa, Matang, Petrajaya, Samariang, Batu Kawa dan beberapa lagi kawasan menggunakannya.

Lagipun, kawasan berkenaan padat dengan penduduk, dan dijangka lebih banyak rancangan perumahan akan dibina terutama di Kota Samarahan, Matang dan Batu Kawa.

Menjadi persoalan, siapakah yang bakal melaksanakannya? Dari segi ini, kita jangka syarikat berpengalaman dari China berpotensi untuk bekerjasama dan melaksanakannya.

Bagi rakyat, kita mahu memastikan sistem pengangkutan moden itu nanti dapat memudahkan mereka bergerak, selain mengurangkan tekanan kos sara hidup.

MRT baik untuk sejuta penduduk di Kuching dan kawasan sekitarnya.

Pasti akan berlaku kesan limpahan lain dari segi sosioekonomi. Nilai hartanah akan meningkat di kawasan terbabit.

Yang diperlukan sekarang ialah keberanian dan komitmen untuk melaksanakannya di pihak Ketua Menteri.

Melengah-lengahkannya akan menyebabkan kesesakan bertambah teruk, dan kosnya terus meningkat.

Lakukannya dalam tempoh kurang daripada lima tahun dari sekarang.

Memang akan ada yang mengkritik, dengan alasan masing-masing, tetapi pemimpin yang bijaksana tentu mempunyai wawasan, pandangan jauh dan keberanian. Abang Johari memiliki semua itu. – Sarawakvoice