Mesra niaga, cekap punca Jack Ma pilih M’sia jalin ekonomi digital

KUALA LUMPUR: Kenapa bilionaire yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma memilih Malaysia menjadi rakan untuk bekerjasama dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ)?

Malaysia sangat mesra perniagaan dan cekap menjadi faktor utama bilionaire dunia itu memilih menjalin kerjasama ekonomi digital dengan Malaysia.

Ramai bertanya kepada beliau dan Ma menjawab, “saya bagi tahu mereka yang Malaysia sangat mesra perniagaan dan lebih cekap daripada yang saya sangkakan,” jawab Ma pada ucapan pembukaan beliau sebelum melancarkan DFTZ bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu.

Memetik Bernama, Ma mengakui projek Koridor Raya Multimedia memberi inspirasi kepada beliau meneruskan idea dunia digital di Kuala Lumpur.

Pemilik syarikat e-dagang nombor satu dunia itu berkata Alibaba dan Malaysia merealisasikan penubuhan e-hab berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

DFTZ ialah zon perdagangan bebas digital pertama di luar China, yang akan menggunakan teknologi baharu bagi memperkasa perniagaan kecil dan usahawan muda.

Hab logistik ini menyediakan perkhidmatan kepada perniagaan e-dagang dengan satu pusat perkhidmatan sehenti.

Ma berkata, hab logistik serantau ini mampu berkembang dan boleh menghantar pakej dalam tempoh 72 jam bagi tempoh 20 tahun akan datang.

Projek ini mampu memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia keseluruhannya.

Ketika ini perniagaan kecil di negara ini menyumbang kurang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Manakala, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang sekitar 97 peratus daripada jumlah perniagaan.

Beliau yakin ekonomi digital akan membantu meningkatkan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada perniagaan kecil di Malaysia kepada sekurang-kurangnya 80 peratus.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melantik Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital dengan beliau bertanggungjawab melancarkan DFTZ tahun ini.

Ma dalam kunjungan awalnya di Malaysia sangat memuji rakyat Malaysia sebagai peramah dan mengharagai erti persahabatan berdasarkan kajian mendapati purata rakyat Malaysia mempunyai 235 rakan dalam rangkaian sosial.

Ma juga mengakui menyukai Malaysia dan beliau menikmati percutian yang menarik dengan makanan lazat, budaya dan tempat yang seronok dikunjungi. – Sarawakvoice