Sudah 54 tahun guru agama Semenanjung mengajar di S’wak, tiada masalah timbul

PUTRAJAYA: Memandangkan tiada guru dari Sarawak yang dapat mengisi 401 kekosongan guru agama, Jabatan Pendidikan Sarawak bersetuju membuka iklan guru interim kepada sama ada calon dari Sabah atau Semenanjung Malaysia mengisinya.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penghantaran guru agama dari Semenanjung sudah bermula sejak 1963 dan setakat ini tidak pernah timbul sebarang masalah.

Memetik Bernama, Mahdzir berkata, “Ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana setiap tahun jika tidak cukup guru, kami hantar, malah kami berunding dengan kerajaan negeri.”

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Bercakap pada sidang media selepas majlis penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan Bahasa Inggeris ke Arah Kemenjadian Murid, Mahdzir berkata sebagai Ahli Parlimen berpendidikan, Chong Chieng Jen tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak profesional seperti itu.

Sebelum ini, Pengerusi Dap Sarawak, Chong mendakwa 433 guru Pendidikan Islam yang dipelawa mengajar di Sarawak menjadi permulaan kepada ketaksuban agama yang kemudian mengganggu keharmonian kaum di Sarawak.

Chong mendakwa guru dari Semenanjung ini membawa versi ajaran Islam Umno mengindoktrinasi kanak-kanak di Sarawak yang menyebabkan berlaku pengasingan kaum.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kesal dengan “sendaan” DAP bahawa guru agama “import” dan “pemikiran sempit” dari Malaysia Barat menganggu keharmonian kaum di Sarawak.

Memetik kenyataan yang disiarkan FMT, Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak, kenyataan berkenaan mengguris hati para guru kerana mereka di hantar ke sana untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di Sarawak.

Kenyataan Chong turut mengundang kritikan Ketua Pemuda Pas Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo berkata, yang melihat Dap Sarawak seperti mahu dianggap sebagai jaguh sentimen kenegerian sambil menerbitkan persepsi negatif kepada Islam. – Sarawakvoice

Leave a Reply