Sarawak kaji Pelan Induk Industri Getah untuk tarik pelabur industri tayar dan sarung tangan – Uggah

KUCHING: Sarawak akan mewujudkan Pelan Induk Industri Getah dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan untuk memenuhi permintaan ekonomi serta mematuhi keperluan industri getah moden.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini terdapat syarikat pembuat tayar telah menyatakan minat mereka untuk melabur di negeri ini.

“Tetapi mereka memerlukan kita menyediakan ladang getah bersaiz besar bagi menyokong industri tersebut.

“Kita perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran getah kerana ketika ini kita hanya memiliki sekitar 160,000 hektar ladang yang berselerak di seluruh negeri,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama-sama Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Mohd Akbar Md Said.

Industri kecil katanya, memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 hektar tanaman getah, dengan industri sarung tangan sahaja memerlukan 1,000 tan lateks sebulan.

“Saya telah mengarahkan LGM dan kakitangan saya untuk bekerjasama rapat bagi menjayakan pelan induk ini.

“Usaha perlu dilakukan untuk menggerakkan aktiviti hiliran berasaskan getah keraa ketika ini, hanya Sarawak menjadi pengeluar produk getah berasaskan piawai SMR.

“Kita belum ada industri seperti sarung tangan, tiub getah dan lain-lain. Sekarang adalah masanya untuk kita memberi tumpuan ke arah itu,” tambahnya.

Kata Timbalan Ketua Menteri itu lagi, kementeriannya akan berbincang dengan LGM untuk meningkatkan jumlah penanaman getah di negeri bagi memenuhi permintaan industri, terutamanya bagi menyokong pusat pengeluar lateks.

“Dengan adanya jaminan bekalan bahan mentah ini, beberapa pelabur akan datang ke negeri ini bagi mewujudkan sumber ekonomi baharu, yang berasaskan industri tayar,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Leave a Reply