Penyediaan kemudahan air, elektrik 100 peratus untuk S’wak

SIBU: Kemudahan air dan elektrik tidak dapat dipisahkan bagi keperluan dan kegunaan seharian penduduk serta untuk pembangunan negeri.

Selain menyediakan prasarana sedia ada untuk kemudahan air dan elektrik ini, kerajaan turut menyediakan Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas) dan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (Sares) sebagai kemudahan tambahan.

Berkaitan keperluan air, Menteri Kemudahan Awam, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata Sarawak kini menyasarkan penyediaan air bersih 100 peratus di negeri ini menjelang 2025.

Sarawak buat masa ini mempunyai sekitar 90 loji rawatan air di seluruh negeri yang diuruskan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Setakat ini, sekitar 60 peratus pelosok negeri Sarawak menikmati bekalan air bersih.

Bercakap pada majlis Pelancaran Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2017 dan Perasmian Pejabat JBALB Bahagian Sibu pada Isnin, Rundi berkata sekitar 40 peratus lagi kawasan di negeri ini masih menerima bekalan air tangki, air bukit dan hujan.

Sawas dikenal pasti berfungsi sebagai alternatif melengkapkan program bekalan air bersih di kawasan yang dikenal pasti.

Manakala, menurut Rundi program Sares pula berkaitan dengan alternatif bagi penyediaan elektrik dan ia bergerak seiring dengan Sares bagi penyediaan kedua-dua kemudahan asas berkenaan.

Bekalan elektrik dapat membantu alternatif penyaluran kemudahan bekalan air yang mencukupi di kawasan yang sukar dicapai oleh saluran paip utama. – Sarawakvoice