Muktamar Pas tentukan untuk kekal atau putus bersama PKR

KOTA BHARU: Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata keputusan muktamad parti itu meneruskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi diputuskan pada Muktamar Pas ke-63 pada 27 April hingga 1 Mei di Kedah.

Setakat ini Pas Permatang Pauh dan Bayan Baru Pulau Pinang, Dewan Pemuda Pas Tumpat Kelantan mendesak Pas memutuskan hubungan dengan PKR atas dakwaan parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin.

Selain PKR masih bekerjasama dengan Dap dan Parti Amanah Rakyat (Amanah), parti itu juga dituduh membelakangi dan mengkhianati Pas semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar tahu lalu.

Menurut laporan Bernama, Mohd Amar berkata jika banyak usul dikemukakan untuk memutuskan hubungan dengan PKR, perwakilan yang hadir akan membincangkan perkara tersebut.

Kata Mohd Amar, “kalau muktamar putuskan kita putus hubungan tahaluf (dengan PKR) ini, maka kita kena terima hakikat dan kita akan bergerak mengikut keputusan, tapi kalau muktamar putuskan untuk kekal maka kita seperti biasalah.”

Bercakap selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-13 di Kompleks Kota Darul Naim pada Isnin, Mohd Amar berkata, perbincangan berkaitan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang turut dibuat berdasarkan keputusan berkenaan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya berkaitan perkembangan terkini itu, mengambil sikap berhati-hati.

Beliau meminta semua parti pembangkang termasuk Pas supaya terus mengekalkan misi perubahan serta formula satu lawan satu bagi memenangi PRU-14 sebagai keutamaan.

Bagi Azmin, pendirian PKR tidak berubah mengekalkan tahaluf siyasi dengan Pas serta formula satu lawan satu.

Bagi Azmin, semua parti pembangkang perlu meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Berkaitan masa depan hubungan PKR-Pas, Azmin berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan pimpinan Pas menentukannya pada muktamar parti itu nanti. – Sarawakvoice