Mahathir cadang debat diadakan di Selangor

PUTRAJAYA: Susulan pihak berkuasa menolak permohonan penganjur  mendapat permit daripada pihak polis, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kini diberi tempoh hingga esok untuk membuat persiapan bagi merealisasikan dialog yang ditunggu-tunggu antara beliau dengan  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir seperti Nazri yang tetap berminat untuk meneruskan dialog pada Sabtu ini, mencadangkan Shah Alam, Selangor, lokasi baharu yang perlu dipertimbangkan. 

Dialog  antara Mahathir dan Mohamed Nazri dijadualkan berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar,  pada petang Sabtu ini.

Namun,  Polis Perak menolak permohonan penganjur bagi meneruskan program berkenaan. 

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan,

Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata; “Saya bersedia berdebat mengenai apa-apa isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka, termasuk skandal BMF.”

Nazri dijangka akan membangkitkan isu berkaitan skandal BMF yang berlaku pada zaman Mahthir, manakala Mahathir pula akan mendedahkan isu berkaitan 1MDB dan derma RM2.6 bilion, selain isu-isu lain yang membabitkan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pertemuan antara mereka disifatkan bagai buku bertemu ruas dan mengundang minat rakyat kerana tidak pernah berlaku dialog atau debat sedemikian antara bekas Perdana Menteri dengan menteri sebelum ini di negara ini.

Nazri  hari ini menyatakan tetap akan berada di Padang Rengas, kawan Parlimennya pada tarikh tersebut, namun Mahathir  dalam sidang media di Bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini berkata beliau  tidak akan ke sana semata-mata mahu berjumpa Nazri. 

“Jika beliau mahu berjumpa dengan saya, beliau boleh membuat temu janji,” ujar Mahathir lagi. – Sarawakvoice