[Kolumnis] Mengapa  debat Nazri-Mahathir perlu diteruskan?

Polis menolak permohonan acara debat  antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sabtu ini.

Debat anjuran Kumpulan Media Karangkraf yang dijadual bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar itu telah menarik perhatian ramai, dan seluruh rakyat Malaysia.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata permohonan berkenaan ditolak atas empat sebab iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu penganjur perlu membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

Katanya, tempat perhimpunan yang dipilih iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar merupakan kawasan sekolah dan ia adalah satu tempat larangan mengikut Jadual Pertama (Seksyen 3) akta sama.

Dalam kenyataan itu, Hasnan berkata bahawa pihaknya juga menerima bantahan secara bertulis oleh orang awam dan penduduk sekitar yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

Memang dari awal lagi ada pihak yang skeptis bahawa debat itu dapat diteruskan. Mereka tahu akhirnya pihak polis tidak akam memberi keizinan.

Dengan penolakan itu, ia bakal memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.

Kelihatannya, Nazri bersungguh-sungguh hendak berdepan dengan Mahathir, dan beliau berjanji untuk tidak bersikap biadab terhadap Mahathir.

Sebaliknya, beliau berjanji untuk tampil hormat, apatah lagi beliau berkata, tidak akan berlaku keganasan ketika debat itu berlangsung.

Sesiapa yang menganggap dirinya terpelajar dan terdidik, tentu akan akur kepada adab dan peraturan debat.

Pendebat profesional, apatah lagi dua pemimpin hebat seperti Mahathir dan Nazri tentu tidak akan melanggar peraturan. Mereka tentu tidak akan melancarkan serangan peribadi.

Pihak yang terbabit, dan para penyokong tentu mengerti bagaimana adab ketika berdebat.

Anehnya, di Malaysia kita bagai takut dengan debat.

Debat baik untuk memberi penjelasan tentang sesuatu isu.

Melalui debat segala salah tanggap dan persepsi salah malah fitnah dapat ditangkis dan dijelaskan. Mengapa takut untuk berdebat?

Inilah peluang pihak kerajaan melalui Nazri dapat membuat penjelasan dan mengemukakan hujah-hujah bernas tentang isu dibangkitkan Mahathir.

Dan inilah juga peluang Nazri bertanya Mahathir dan mengkritik tindakan Mahathir berkaitan dengan isu BMF.

Dalam debat kekuatan fakta, data dan hujah lebih penting daripada kekuatan fizikal. Dalam debat anda tidak perlu bertumbuk atau  menaikkan suara untuk mengalahkan lawan.

Ketika semua pihak begitu teruja untuk menyaksikan debat antara Mahathir dengan Nazri, berlaku pula antiklimaks.
Tidakkah boleh dicari alasan lain untuk mewajarkan debat itu? Kalau polis memberi alasan di atas mengapa debat itu tidak dibenarkan, mereka perlu mencadangkan tempat sesuai. Memang aneh, sekolah sudah dianggap sebagai tempat tidak sesuai untuk berdebat.

Walhal, inilah tempat untuk kita memupuk pemikiran analitis dan kritis. Malah, di sekolah pelajar sentiasa digalakkan untuk berdebat.

Debat antara Mahathir dengan Nazri perlu diteruskan.

Demokrasi yang matang membenarkan dan menggalakkan debat. Hanya negara samseng sahaja membenarkan perlawanan melalui fizikal di  jalan raya. – Sarawakvoice

Leave a Reply