Kisah pelajar cemerlang SPM hidup merempat di pusat snuker

JOHOR BAHRU: Kisah Farah Marcella pelajar daif cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menumpang hidup bersama ibu dan adik-adiknya di pusat snuker tular dan meruntun perasaan masyarakat.

Kebaikan keluarga angkat yang juga cikgunya sendiri, Suraya Abdul Rahim menawarkan Farah Marcella tinggal bersamanya dua bulan sebelum SPM, memberi motivasi dan inspirasi kepadanya untuk fokus belajar.

Berkat usaha dua bulannya, Farah Marcella, 18, memperoleh 6A, 1B+ dan 1C.

“Saya rasa bercampur-baur sekarang ini, terharu, gembira, gementar bila dapat keputusan sebaik ini,” kata anak kedua daripada enam adik-beradik itu mengaku hanya dua bulan terakhir menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Farah Marcella dan keluarganya hidup merempat selepas ditinggalkan ayah mereka.

Dia diberhentikan sekolah ketika Tingkatan Empat kerana lama tidak hadir sekolah. Dia kemudian mendaftar semula untuk kembali belajar di Tingkatan Lima.

Kini, meneruskan harapannya membawa gulungan sijil SPM, Farah yang meminati bidang seni lukis dan bercita-cita menjadi anak seni, perlu meneruskan kehidupannya pada masa yang sama mengejar cita-citanya.

Tidak berhenti di situ, Cikgu Suraya bersama abangnya terus mencari inisiatif membantu Farah Marcella dan anggota keluarganya dengan mewujudkan tabung bantuan.

Setakat beberapa hari mereka berjaya mengumpul lebih RM17,000.

Foto Bernama

Memetik laporan Bernama, Suraya berkata, “Kita harap dana ini bukan sahaja dapat membantu Farah, tetapi juga abangnya Hans Hemsus yang bercadang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas mencatat 5A dalam SPM tiga tahun lalu.”

Suraya meminta masyarakat memahami tindakannya menggunakan akaun dana tersebut atas nama abang sulungnya Zaikhan Abdul Rahim demi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap Farah Marcella yang dianggap bersifat murah hati.

Kepada yang ingin membantu keluarga pelajar cemerlang SPM ini, sila masukkan bantuan anda kepada Projek Infaq Pengajian Farrah Marcella di akaun Maybank Islamic atas nama Zaikhan Abdul Rahim: 3611 4522 7076. – Sarawakvoice

Leave a Reply