Kementerian Pendidikan peruntuk RM100 juta untuk lebih sejuta pelajar miskin

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM100 juta membantu lebih sejuta pelajar miskin dan miskin tegar di seluruh negara.

Kamalanathan ketika menjawab soalan Budiman Moh Zohdi, BN Sungai Besar di Dewan Rakyat pada Selasa seperti dilaporkan Bernama berkata peruntukan itu disediakan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan

Sementara menjawab soalan Datuk Mohd Idris Jusi, PKR-Batu Pahat, beliau berkata berkata 1,216 sekolah di seluruh negara melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) setakat ini.

Ia meliputi 587 sekolah rendah dan 629 sekolah menengah dan program dilaksanakan berdasarkan pilihan ibu bapa serta kesediaan pihak sekolah.

Pada 2003, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menubuhkan KWAPM di bawah seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Objektif utama KWAPM adalah untuk membantu golongan ibu bapa murid yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah dengan bertujuan mengurangkan jurang peluang pendidikan di antara bandar dengan luar bandar.

Penubuhan tabung ini juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuat kuasa mulai Januari 2003 mengelak berlaku keciciran pelajar.

Murid yang layak menerima bantuan KWAPM antaranya murid miskin dan miskin tegar, murid anak Orang Asli yang berdaftar dengan eDamak dan disahkan miskin, murid Penan yang bersekolah di Sekolah Penan.

Murid lain yang dipertimbangkan ialah murid bukan penerima bantuan kewangan persekolahan atau biasiswa tertentu sama ada swasta atau yayasan.