Jins Shamsuddin tidak marah dikritik, orator yang yakin – Ku Seman

Tokoh perfileman legasi Studio Jalan Ampas Singapura, Tan Sri Jins Shamsuddin telah kembali ke rahmatullah pukul 6.30 petang 1 Mac lalu. Anak kelahiran Taiping, Perak ini dilahirkan pada 5 November 1935 dan kemuncak hidupnya, Jins dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Jins adalah antara perintis industri perfileman Malaysia selepas penutupan Studio Jalan Ampas pada tahun 1960-an. Selepas studio ditutup dan operasi penerbitan filem berpindah ke Merdeka Studio, Hulu Kelang.

Bagaimanapun keadaan filem tidak sama, kualitinya bukan sahaja tidak setanding Studio Jalan Ampas malah jauh lebih buruk.

Ini membuatkan ruang masa antara 1960-an hingga akhir 1970-an semacam tidak ada filem walaupun Merdeka Studio terus menerbitkan filem-filem yang disalin daripada filem-filem Hong Kong.

Filem ini terpisah dengan “milieu” setempat kerana melangsungkan “social fantasy” Hong Kong.

Walaupun filem “Keluarga Si Comat” arahan Aziz Sattar lebih awal diterbitkan dalam bentuk warna pada tahun 1970-an, tetapi filem arahan dan terbitan Jins, “Menanti Hari Esok” (1977) lebih diingati dan seolah-olah kelahiran filem Malaysia selepas merdeka.

Kejayaan filem melodrama “Menanti Hari Esok” mendorong Jins menerbit dan mengarahkan “Esok Masih Ada” dan “Tiada Esok Bagimu” pada 1979.

Tetapi dua filem ini tidak mampu menyaingi “Menanti Hari Esok” dari segi kutipan dan pembikinannya.

Jins menggegarkan lagi apabila memilemkan tragedi serangan komunis terhadap Balai Bukit Kepong dalam filem “Bukit Kepong” (1981).

Filem berlatar sejarah ini menelan belanja RM500,000 ketika itu (secara bandingnya rata-rata filem diterbitkan dengan belanja antara RM200,000 hingga RM250,000 sahaja).

Filem “Bukit Kepong” mendapat kritikan pengkritik kerana Jins “terlalu jujur” dengan sejarah hingga menghilangkan tuntutan naratif bagi sebuah filem.

Antara kritikan terhadap filem ini ialah “Bukit Kepong” tergantung antara cereka dan dokumentari.

Pengkritik-pengkritik yang lantang ketika itu tentulah Dr Anuar Nor Arai daripada universiti, Johan Jaaffar daripada DBP dan Mansor Puteh yang baru balik dari Columbia University, Amerika Syarikat.

Pada era 1980-an, diskusi filem sangat “hidup” di Kuala Lumpur. Pada masa sama kritikan filem juga berkembang pesat menerusi majalah Dewan Budaya hingga kepada akhbar-akhbar; Utusan Malaysia, Berita Harian dan akhbar tabloid yang diterbitkan secara mingguan.

Dalam satu siri diskusi filem, Dialog Cerdik yang diadakan di Sudut Penulis, DBP, beberapa panel antaranya Johan Jaaffar dan Dr Anuar Nor Arai menyasarkan filem-filem arahan Jins. Diskusi itu diberi liputan meluas oleh surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Pada siri berikutnya Jins turut datang ke Dialog Cerdik di DBP. Dia datang sebagai orang biasa dan duduk bersama-sama orang ramai. Semua orang pandang, siapa yang akan kena dengan Jins malam itu. Tetapi Jins hanya menjawab semua perkara yang diperkatakan pada siri sebelumnya. Sedikit pun tidak marah kepada panel yang mengkritiknya.

Saya mula mengenali Jins secara dekat apabila menyertai satu program filem di Jakarta pada tahun 1985. Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah A. Samad Said, Dr. Firdaus Abdullah dan Prof Mustapha Kamal Yassin (Kala Dewata) iaitu ayah Azmil Mustapha.

Pada satu sesi forum, saya turut diminta menjadi panel bersama-sama Jins dan A. Samad Said. Saya pergi atas kapasiti pengkritik filem. Bayangkan pada usia 25 tahun dan baru setahun berkerja terpaksa berdepan dengan pengkritik-pengkritik hebat dari Indonesia.

Pengarah-pengarah hebat juga hadir. Antaranya Teguh Karya yang sedang mengarah filem “Ibunda”.

Saya jadi pucat dan gementar. Jins membisikkan kepada saya, “Yang mana tak boleh jawab tolak kepada saya.”

Jins seorang yang sangat lantang di forum-forum filem di luar negara. Dalam program Festival Filem Asia Pasifik, Jins sangat dikenali oleh delegasi dari negara-negara Asia Pasifik. Dia seorang orator yang hebat, berhujah dalam keadaan yang sangat yakin.

Jins seorang yang sangat menjaga penampilan apabila berada di tempat awam. Sepanjang mengenali Jins lebih 30 tahun, sekali pun saya tidak pernah melihat Jins memakai baju T leher bulat, selipar, menyenteng baju lengan panjang atau baju yang ada cabang di bawahnya dibiar berada di luar seluar. Tidak pernah.

Jins memiliki bangunan yang dinamakan Studio Panca Delima sebagai mengingati filem pertama dia memegang watak utama, Pancha Delima (1957) arahan P. Ramlee. Bangunan itu di tepi Lingkaran Tengah 2 (MRR2) tidak jauh dari Kompleks Finas di Hulu Kelang.

* Ku Seman Ku Hussein merupakan pengkritik filem dan bekas Pengarang Utusan Malaysia

Leave a Reply